PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin bahawa tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak menukar peguam di saat-saat akhir rayuan kes SRC International Sdn Bhd tahun lalu, sebagai suatu yang ‘tidak menjadi’.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berhujah demikian ketika prosiding permohonan semakan bekas Perdana Menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan, hukuman dan denda berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

Sithambaram turut mengaitkan frasa ‘changing horses in midstream’ terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu kerana membuat perubahan yang drastik di tengah-tengah perjuangan, sebagai tindakan yang merosakkan diri sendiri.

Beliau mempersoalkan tindakan pemimpin UMNO itu menukar barisan peguamnya sebelum pendengaran rayuan dibuat.

“Memanglah Najib ada hak untuk memilih peguam, tetapi pasukan pembelaan yang mewakilinya perlulah bersedia kerana ia akan ‘membuka pintu’ kepada semua orang selepas ini untuk membuat perkara sama.

“Sebenarnya mereka tidak mahu meneruskan kesnya, sebab itu permohonan penangguhan dibuat,” katanya.

Beliau berkata, alasan bahawa tempoh empat bulan tidak mencukupi untuk membuat persediaan bukan satu alasan, ini mengganggu proses keadilan.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee menghujahkan bahawa, ini merupakan kali pertama pertukaran peguam dilakukan malah dibuat dengan niat baik iaitu ‘bona fide’.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan kerana Mahkamah Tinggi tidak membenarkan Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw dimasukkan sementara ke Badan Peguam dan mewakili Najib dalam rayuan akhirnya.

“Oleh itu, tiada agenda lain untuk membuat penangguhan,” katanya.

Dalam pada itu, Sithambaram turut menghujahkan mengenai isu Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan Maybank Berhad.

Menurutnya, jawatan Mohd Nazlan dengan badan perbankan itu tidak pernah menjadi rahsia malah tidak relevan dengan dengan kes SRC yang dipertuduhkan ke atas Najib.

“Sudah tentu ia bukan subjek semakan ini,” katanya ketika prosiding permohonan semakan itu di hadapan lima panel hakim.

Mereka ialah Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli; tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Najib yang kini berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.

Beliau melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonannya pada 6 September tahun sama, memohon supaya keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang mengesahkan sabitan, hukuman dan denda disemak semula.

Pada 25 Julai 2022, Najib menamatkan perkhidmatan Muhammad Shafee dan firma guamannya, Tetuan Shafee & Co sebelum melantik firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) bagi menggantikan fima terbabit.

Najib menukar barisan peguamnya kurang tiga minggu daripada tarikh pendengaran rayuan akhir bermula pada 15 Ogos 2022.

Selepas permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan khidmat Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw sebagai salah seorang peguamnya dalam rayuan akhir beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Prosiding bersambung Selasa. -- Sinar Harian