MALAYSIA
Tindakan segelintir anggota dan pegawai terlibat jejas imej PDRM

Ayob Khan berucap pada Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir anggota dan pegawai polis yang terlibat dalam rasuah menjejaskan serta mencemarkan imej pasukan itu, walaupun majoritinya menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti.
Ringkasan AI
- Segelintir anggota dan pegawai polis yang terlibat rasuah mencemarkan imej PDRM, walaupun majoritinya berintegriti.
- Tan Sri Ayob Khan menegaskan tiada kompromi terhadap rasuah, dengan tindakan tegas termasuk siasatan SPRM, kertas siasatan, atau tatatertib.
- Beliau menolak tanggapan bahawa sukar membanteras rasuah dalam PDRM dan menegaskan komitmen pasukan itu menjaga integriti serta keselamatan negara.
"Semasa saya menjawat jawatan Ketua Polis Johor, ada pegawai dan anggota diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Di JSJN pula, pegawai berpangkat Supt, ASP dan Inspektor turut dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini malam tadi.
Turut hadir Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari dan Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Datuk Dr Radzuan Ibrahim.
Ayob Khan menegaskan, tindakan menyembunyikan kes rasuah demi menjaga nama baik organisasi hanya akan menyebabkan gejala tersebut semakin parah dan sukar dibanteras.
"Bagi PDRM, tiada kompromi. Jika saya kesan, pilihan pertama ialah menyerahkan kes kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika melibatkan kes besar, kedua membuka kertas siasatan, dan ketiga memulakan tindakan tatatertib," jelasnya.
Dalam ucapannya di majlis tersebut, beliau menegaskan komitmen untuk terus bercakap, menegur dan mengingatkan semua pegawai serta anggota PDRM tentang betapa jijik dan hinanya amalan rasuah.
Beliau juga menolak tanggapan segelintir pihak, sama ada dari dalam atau luar, yang membawa naratif bahawa sukar membanteras rasuah dalam PDRM.
"PDRM kekal tegas untuk tidak berkompromi dengan salah laku integriti, khususnya rasuah dan salah guna kuasa. Kami akan terus beriltizam memastikan tahap keselamatan negara dan ketenteraman awam terjamin, dengan kualiti penyampaian perkhidmatan yang optimum," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami