MALAYSIA
Tindakan sita aset keluarga Daim untuk elak dilupus ketika siasatan - SPRM

Tujuh hartanah dan satu akaun bank milik Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dibeku bagi mengelakkan pelupusan harta ketika siasatan dijalankan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku tujuh hartanah dan satu akaun bank milik isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid adalah bagi mengelakkan ia dilupuskan ketika siasatan sedang dijalankan.
Ringkasan AI
- Pembekuan aset isteri Tun Daim oleh SPRM: Tujuh hartanah dan satu akaun bank milik Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dibekukan bagi mengelakkan pelupusan harta ketika siasatan dijalankan.
- Perintah larangan berbanding pembekuan biasa: Pesuruhjaya SPRM menjelaskan bahawa tindakan ini adalah perintah larangan (prohibitory order) mengikut Seksyen 53 AMLA, yang berfungsi untuk menyekat transaksi sehingga siasatan selesai.
- Langkah sementara dalam siasatan: SPRM menegaskan bahawa tindakan ini bukan bukti harta diperoleh melalui cara menyalahi undang-undang, tetapi bertujuan mengekalkan status quo bagi memastikan integriti siasatan.
Media semalam melaporkan tiga kediaman mewah di London ialah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik Na'imah dan keluarga, dibekukan oleh SPRM membabitkan nilai berjumlah 132 juta pound (RM758.2 juta).
Siasatan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan yang berhubung dakwaan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Permohonan SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat untuk membekukan harta berkenaan dibenarkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid pada prosiding secara sebelah pihak (ex-parte), semalam.
Sementara itu, bekas Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata dalam kes pembekuan aset keluarga Daim, istilah undang-undang yang tepat dalam konteks ini ialah perintah larangan (prohibitory order) dan bukannya perintah pembekuan (freezing order).
Beliau berkata ini kerana pembekuan merujuk kepada tindakan di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang lazimnya membabitkan akaun bank dan instrumen kewangan tertentu.
Kes ini sebaliknya membabitkan perintah larangan mengikut Seksyen 53 AMLA yang berkaitan dengan sekatan terhadap sebarang urus niaga membabitkan harta di luar Malaysia yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti haram, katanya.
"Bagaimanapun pengeluaran perintah larangan itu tidak membawa maksud atau andaian bahawa harta yang terlibat diperoleh melalui cara rasuah atau menyalahi undang-undang.
"Perintah ini hanya bertujuan untuk menyekat sebarang urus niaga ke atas harta tertentu sementara siasatan oleh SPRM dijalankan. Ia merupakan langkah sementara untuk mengekalkan status quo dan mengelakkan pelupusan harta semasa siasatan sedang berjalan," katanya dalam kenyataan.
Dzulkifli yang juga seorang peguam berkata perintah larangan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi itu adalah melalui permohonan ex parte iaitu tanpa notis awal atau kehadiran pihak yang terbabit.
Pada peringkat itu, katanya, pihak yang dikenakan perintah itu masih belum diberi peluang untuk memberi maklum balas atau mencabar permohonan itu di mahkamah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami