SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, akan mengenakan tindakan tegas kepada para peniaga yang menjual minyak sawit tulen (botol) melebihi harga maksimum bermula hari ini.

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata terdapat segelintir peniaga yang masih meletakkan harga melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan, dengan alasan termasuklah tidak peka berkaitan harga kawalan yang ditetapkan dan peniaga berkenaan mengambil tindakan segera, dengan mengubah kepada harga yang disarankan oleh kerajaan.

Beliau berkata sepanjang tempoh pemeriksaan yang dilakukan bermula 1 Ogos hingga 7 Ogos lalu, pejabat KPDNHEP Selangor telah mengeluarkan 21 amaran bertulis dan tiada tindakan kes diambil ketika ini.

"Bagaimanapun pemeriksaan dan pemantauan ulangan akan diambil ke atas premis-premis yang telah diberi amaran dan sekiranya masih berlaku pelanggaran oleh pihak peniaga, tindakan kes akan dikenakan bermula 9 Ogos," katanya.

Muhammad Zikril berkata KPDNHEP telah menguatkuasakan kawalan harga terhadap minyak masak sawit tulen botol dan minyak masak sawit peket 1 kilogram (kg) namun sekiranya terdapat aduan kenaikan harga minyak masak sawit selain dari minyak masak sawit tulen, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Sebagai makluman katanya KPDNHEP telah mewartakan kawalan harga maksimum minyak masak sawit tulen pada 28 Julai dan menetapkan harga maksimum bagi minyak masak sawit tulen diperingkat runcit adalah mengikut pembungkusan iaitu Botol 1KG RM6.70, Botol 2KG RM12.70, Botol 3KG RM18.70 dan Botol 5KG RM29.70.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan dan perundangan yang ditetapkan dan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

-- BERNAMA