MALAYSIA
Tindakan tegas subahat 'keldai akaun', termasuk penjara 10 tahun

Rusdi (kedua dari kiri) mengesyorkan penggunaan platform 'semakmule' untuk mengesan aktiviti keldai akaun. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah tegas terhadap individu menjadi 'keldai akaun' iaitu menyerahkan akaun bank mereka kepada orang lain, khususnya sindiket penipuan dalam talian.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, sebanyak 39,006 akaun telah dikenal pasti terlibat sebagai keldai akaun sejak awal tahun hingga Isnin, dan lebih 10,000 pemilik akaun diheret ke muka pengadilan.
“Penglibatan dalam kegiatan ini merupakan satu jenayah mengikut Seksyen 424A, 424B dan 424C Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM150,000,” katanya dalam sidang media pada Rabu.
Tegasnya, ramai beranggapan memberi akaun kepada pihak lain bukan satu kesalahan, sedangkan tindakan itu sebenarnya menjadikan mereka bersubahat dalam penipuan kewangan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.Mengikut peruntukan Seksyen 424A, individu yang menyimpan instrumen pembayaran milik orang lain tanpa kebenaran boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga RM50,000.
Seksyen 424B pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda maksimum RM100,000 terhadap individu yang menyerahkan akaun atau kawalan ke atas akaun kepada pihak lain.
Manakala Seksyen 424C melibatkan penggunaan akaun bank sendiri atau orang lain bagi urusan transaksi tanpa niat yang sah, yang membawa hukuman lebih berat iaitu penjara antara tiga hingga 10 tahun serta denda antara RM10,000 hingga RM150,000.
Tambah Rusdi, jumlah keldai akaun menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga tahun lalu dengan 46,738 akaun direkodkan pada 2023 dan meningkat kepada 51,197 pada tahun 2024.
“Daripada jumlah itu, lebih 35,000 pemilik akaun telah didakwa pada 2023, manakala 33,000 lagi pada 2024. Setakat Julai tahun ini, sebanyak 10,635 pertuduhan telah difailkan,” katanya.
Beliau menegaskan, pihaknya akan terus bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang terlibat atau bersubahat dengan sindiket penipuan kewangan tanpa mengira latar belakang atau sebarang alasan yang diberikan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami