Kerajaan akan meminta pengurusan Suria KLCC menjelaskan punca beberapa premis yang mendakwa diminta keluar atau berpindah dari premisnya dalam masa terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, tindakan pengurusan Suria KLCC jelas bertentangan dengan hasrat negara untuk mempromosi barangan tempatan di lokasi tumpuan masyarakat serta pelancong.

"Saya tanya pegawai yang berkenaan adakah ada ruang untuk kita mengkaji semula hak empunya premis menetapkan lokasi-lokasi kedai yang menjual produk tempatan.

"Saya pernah bawa isu ini ke peringkat tertinggi dan mahu berjumpa pengurusan Suria KLCC minggu depan untuk berbincang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hasan mengulas rintihan peniaga bumiputera di Suria KLCC disifatkan tidak dapat 'hidup' lama di lokasi itu kerana tekanan pengurusan pusat membeli belah terkemuka berkenaan.

Pada Rabu, Pengasas BritishIndia, Pat Liew turut memfailkan saman terhadap pengurusan Suria KLCC kerana cuba mengeluarkan butik itu dari premisnya.

Tindakan itu mendapat sokongan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di dalam laman Facebooknya yang meminta pengurusan Suria KLCC untuk memainkan peranan untuk mempromosikan jenama-jenama negara.

Khairy turut mengakui, kebanyakan premis berkenaan 'disorok' di lokasi-lokasi pinggiran selain menyifatkan Suria KLCC tidak bersungguh mempromosikan jenama negara.

Dalam pada itu kata Hasan, pengurusan Suria KLCC harus mengikut jejak langkah pengurusan kompleks Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 yang menyusun premis produk tempatan di lokasi strategik dan mudah dilihat pengunjung.

"Pengurusan Suria KLCC tidak boleh mengutamakan keuntungan berlebihan dan buat begitu kepada peniaga berkenaan.

"Saya akan kaji mana-mana ruang untuk menyekat tindakan itu dan jika ada undang-undang yang boleh digunakan ... saya akan ambil tindakan.

"Saya akan mencari juga ruang untuk menasihatkan pengurusan Suria KLCC selain meminta penjelasan kenapa mereka melakukan tindakan sedemikian," jelasnya.