NATIONAL
Tiong usaha tingkatkan kesalinghubungan udara Malaysia-Singapura

Tiong berkata, kerjasama lebih erat dan kesalinghubungan yang lebih baik akan membolehkan Malaysia menarik lebih ramai pelawat antarabangsa. - Gambar fail
SINGAPURA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan tambang rendah Scoot pada Khamis bagi meningkatkan kesalinghubungan udara antara Singapura dan Malaysia, termasuk potensi melancarkan laluan penerbangan terus Singapura-Bintulu.
Tiong yang dalam lawatan kerja sehari ke sini, bertemu dengan Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan dan pasukan pengurusan syarikat penerbangan itu untuk meneroka kerjasama lebih luas dalam sektor pelancongan.
"Saya mengambil kesempatan untuk menekankan kepentingan strategik untuk mewujudkan semula laluan penerbangan terus Singapura-Bintulu, yang sebelum ini dikendalikan syarikat penerbangan lain sebelum pandemik tetapi masih belum disambung semula," kata Tiong menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, Lapangan Terbang Bintulu merupakan pintu masuk utama ke Taman Perindustrian Samalaju, sebuah kawasan perindustrian berat penting di Bintulu yang terletak di luar pusat bandar.Tiong menyatakan, kawasan itu menarik sejumlah besar golongan profesional antarabangsa, pelawat perniagaan dan pelancong.
"Mewujudkan laluan penerbangan terus ini akan meningkatkan kemudahan bagi pengembara yang kini perlu transit melalui Miri, Kuching atau Sibu, selain menyokong pembangunan ekonomi dan pelancongan di rantau ini," katanya.
Tiong turut menyatakan, perbincangan itu merangkumi kemungkinan meningkatkan kekerapan penerbangan Scoot bagi laluan Singapura-Langkawi, langkah yang akan meningkatkan ketibaan pelancong dan mengukuhkan lagi aliran pelancongan dua hala.
"Selain itu, saya menekankan permintaan yang semakin meningkat bagi kesalinghubungan udara lebih baik ke Tawau, Sabah, memandangkan peningkatan berterusan pelawat ke Semporna - destinasi semakin popular yang tidak mempunyai lapangan terbang sendiri - menekankan keperluan untuk memperkukuh hubungan ke kawasan itu melalui Tawau," katanya.
Menteri itu menambah, beliau turut menggesa Tourism Malaysia dan Scoot mempercepat pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) mereka, yang bertujuan memanfaatkan peranan strategik Singapura sebagai hab kewangan dan penerbangan ASEAN.
Beliau berkata, kerjasama lebih erat dan kesalinghubungan yang lebih baik akan membolehkan Malaysia menarik lebih ramai pelawat antarabangsa dengan menyediakan pintu masuk yang lebih lancar dan pengalaman perjalanan tanpa gangguan.
"Ini sejajar dengan usaha berterusan kita untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan yang mudah diakses dan bersambung dengan baik untuk pengembara global," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami