MALAYSIA
Titah Adendum: Prosiding di mahkamah wajar dihentikan - Mohamed Fatmi

Mohamed Fatmi berkata sewajarnya prosiding yang sedang berjalan dimahkamah dihentikan dan titah ini dilaksanakan dengan segera sebagai menghormati kedaulatan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
KOTA BHARU: Kewujudan Titah Adendum yang telah diperakui dan disahkan oleh Jabatan Peguam Negara, mengesahkan bahawa ianya bukanlah bersifat “hear say” sepertimana yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan sebelum ini dan serta menjadi polemik.
Justeru, menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tan Sri Mohamed Fatmi Che Salleh, sewajarnya prosiding yang sedang berjalan dimahkamah dihentikan dan titah ini dilaksanakan dengan segera sebagai menghormati kedaulatan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Bharu menggesa kerajaan terutamanya Perdana Menteri dan Jabatan Penjara Malaysia mengambil tindakan segera bagi melaksanakan Titah Adendum itu.
Tegas beliau, semoga dengan terlaksananya Titah Adendum ini, memberi keringanan dan keadilan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.Terdahulu, kerajaan menghormati pandangan semua pihak berkaitan Titah Adendum, namun menegaskan dokumen itu tertakluk kepada proses mahkamah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini proses berkenaan masih dalam urusan mahkamah.
"Titah Adendum ini urusan mahkamah sekarang, tak ada masalah. (Biar) urusan mahkamah. Pandangan masing-masing, kita hormati tapi (harus) ikut proses,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, di sini, pada Jumaat."
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan UMNO yang memohon titah tahanan rumah ke atas Najib dapat dilaksanakan selaras kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, ia susulan pengesahan kewujudan Titah Adendum berkenaan oleh Peguam Negara pada Khamis.
Rabu lepas, media melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami