KUALA LUMPUR:Semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang pernah dipamerkan tatakala menangani gelombang pertama dan kedua penularan COVID-19 perlu ditampilkan sekali lagi.

Itu seruan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad selepas menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Adakah fasa memerangi gelombangan ketiga COVID-19 ini menandakan kerjasama baharu antara masyarakat, pemimpin politik dan juga kerajaan?

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata ia tidak dapat dinafikan lagi bahawa rakyat pada keseluruhannya telah memberi kerjasama yang padu terutamanya dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

“Saya dapat lihat rakyat memang bersedia untuk bersatu demi kepentingan negara dan kesihatan awam.

“Hal ini kerana perkara ini melibatkan kehidupan dan juga isu berkaitan kesihatan. Jadi kedua-dua aspek itu adalah amat penting,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.


Katanya, sekiranya rakyat pada keseluruhan boleh memahami situasi pandemik ini dan bersatu-padu untuk memutuskan rantaian COVID-19, beliau berharap ahli-ahli politik juga boleh memberikan kerjasama yang sama.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Mampukah Ahli Parlimen berhenti main politik selepas titah Agong?

BACA: Titah Agong tuntut kerjasama ahli politik kerajaan dan pembangkang - penganalisis

“Saya berharap parti-parti politik terutamanya ahli-ahli politik juga boleh berbuat demikian.

“Apa yang paling penting ialah soal tentang keikhlasan dan kejujuran daripada semua pihak.

“Sekiranya semua pemimpin politik boleh bersikap ikhlas dan jujur, saya rasa mereka boleh memainkan peranan yang amat penting untuk memenuhi apa sahaja yang dititah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tambahnya, dengan kerjasama dan kesefahaman jitu dalam kalangan ahli politik, sistem demokrasi berparlimen boleh berjalan dengan lancar.

BACA: Muhyiddin, Anwar perlu berdamai dan berunding


“Saya rasa ia sangat penting kerana apabila kami berbincang mengenai Belanjawan 2021, ia memerlukan kelulusan Parlimen dan saya rasa ia mempunyai kaitan dengan aspek yang penting seperti pembayaran gaji kepada penjawat awam, soal berkenaan projek-projek yang telah dirancang dan perlu diluluskan peruntukan,” katanya.

Tegasnya lagi, kini sudah tibanya masa untuk semua pihak bersatu demi kepentingan negara.