TITAH UCAPAN DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR, PENGERUSI MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA SEMPENA MESYUARAT MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM  MALAYSIA KALI KE-70


Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim

serta Ahli-ahli Mesyuarat Sekelian

1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama melafazkan kesyukuran ke hadrat  Allah Subhanahu            Wa Taala kerana dengan izin dan rahmat-Nya, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dapat bersidang  buat kali ke-70. Mesyuarat pada kali ini juga merupakan Mesyuarat MKI kali kedua yang  dipengerusikan oleh Beta selepas Mesyuarat MKI kali ke-69 yang  telah diadakan pada  6 Mac 2023 yang lalu, di Istana Melawati, Putrajaya.

2. Beta merakamkan ucapan terima kasih serta mengalu-alukan kedatangan Yang Amat Berhormat Datuk  Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan semua Ahli-ahli  Mesyuarat ke Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam yang terletak di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu sebuah masjid yang menjadi lambang keagungan Islam di negeri Selangor.

3. Hadirin dan Ahli-ahli Mesyuarat sekelian. Pada kesempatan ini, Beta ingin menarik perhatian Ahli-ahli Mesyuarat kepada beberapa isu semasa yang berlaku di Negara kita yang perlu kita fikirkan dan mencari jalan penyelesaian segera demi memperkukuhkan pentadbiran hal-ehwal Agama Islam di Malaysia.

ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH ORANG BUKAN ISLAM

4. Isu pertama adalah berhubung dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Negara ini. Pada 7 Jun 2023 yang lalu, di dalam pertemuan dan perbincangan Beta bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Beta selaku Pengerusi MKI telah menyuarakan pandangan Beta kepada Perdana Menteri, bahawa isu berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dibincangkan terlebih dahulu pada peringkat MKI. Pandangan Beta ini juga telah dipersetujui oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Hal ini selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihati Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus hal ehwal Islam. Beta juga berpandangan, memandangkan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini merupakan isu yang sensitif di kalangan penganut Agama Islam di Malaysia serta melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian orang Kristian di negeri Sabah dan Sarawak ini, maka ianya perlu dikaji dan diteliti dengan mendalam dan dimuktamadkan segera dengan penuh hikmah dan tanggungjawab. Justeru, Mesyuarat MKI pada sidang kali ini akan membincangkan satu kertas dasar berkaitan penggunaan kalimah  Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif. Segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan  diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang, dan dengan itu satu dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Negara ini dimuktamadkan.

ISU KOMPENTENSI DEWAN UNDANGAN NEGERI

5. Isu kedua yang ingin Beta bangkitkan di dalam titah ucapan Beta ini adalah berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidangkuasa Mahkamah-mahkamah Syariah. Sepertimana yang kita sedia maklum, kebelakangan ini terdapat banyak kes-kes yang sedang dibicarakan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah telah dicabar di Mahkamah Persekutuan khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri di dalam membuat dan meluluskan  undang-undang Islam (Syariah) serta bidangkuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya. Sebagai contoh SIS Forum (Malaysia) telah mencabar Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor di Mahkamah Persekutuan dengan mempersoalkan keesahan seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memberi kuasa semakan kehakiman (Judicial review) terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah Enakmen tersebut. SIS Forum antara lain telah memohon Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan bahawa seksyen 66A berkenaan sebagai tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah. Mahkamah Persekutuan di dalam keputusannya telah memutuskan bahawa Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang yang membolehkan Mahkamah Syariah menjalankan kuasa-kuasa semakan kehakiman. Ianya dikatakan tidak berkaitan dengan hukum syarak tetapi berkaitan dengan kuasa-kuasa undang-undang awam yang pada prinsipnya terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.

6. Manakala dalam kes Iki Putra Mubarak melawan kerajaan Negeri Selangor pula, Pemohon yakni Iki Putra telah mencabar kesahihan seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, iaitu seksyen yang memperuntukkan kesalahan seks di luar tabii atas alasan bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor tidak kompeten untuk menggubal kesalahan tersebut dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakannya. Kesahihan peruntukan ini dipersoalkan atas sebab telah sedia terdapat kesalahan yang sama dalam Kanun Keseksaan yang melibatkan seks luar tabii antaranya di bawah seksyen 377A. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Butiran 1 Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan walaupun membenarkan Dewan Undangan Negeri untuk menggubal apa-apa undang-undang yang berhubung dengan kesalahan jenayah Syariah yang dilakukan oleh penganut Agama Islam, namun dalam masa yang sama Senarai Negeri Butiran 1 tersebut memperuntukkan klausa pengecualian yang mana penggubalan undang-undang tersebut hendaklah tidak termasuk perkara yang telah disenaraikan di dalam Senarai Persekutuan. Oleh yang demikian mahkamah telah memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor tidak berkompeten untuk menggubal seksyen 28 tersebut yang pada hakikatnya terletak di bawah Senarai Persekutuan.

7. Cabaran atas dasar yang sama telah difailkan di Mahkamah Persekutuan oleh pemohon Nik Elin Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 20 kesalahan jenayah Syariah yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan. Kes ini masih di peringkat pendengaran perbicaraan di Mahkamah Persekutuan. Namun apa yang membimbangkan adalah, andaikata keputusan mahkamah kelak memihak kepada pihak Pemohon, bermakna kesannya akan turut menjejaskan peruntukan-peruntukan kesalahan Jenayah Syariah  yang sama yang terdapat dalam Enakmen negeri-negeri lain juga. Trend sebegini menggambarkan kedudukan Enakmen-enakmen negeri yang melibatkan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan jenayah Syariah semakin tercabar yang sekali gus menjejaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri untuk membicarakannya.

8. Beta difahamkan Pihak Berkuasa Agama di peringkat negeri menghadapi kesukaran untuk mendapatkan keputusan mahkamah yang memihak kepada tafsiran yang dikehendaki dalam keadaan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang sedia termaktub ketika ini. Mahkamah Persekutuan adalah tertakluk dan terikat untuk membuat tafsiran terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkaitan mengikut prinsip dan rukun tafsiran yang sudah mantap (established principles of interpretation). Oleh itu, penyelesaian hanya boleh dibuat melalui tindakan legislatif dengan membuat pindaan tertentu kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan bagi membolehkan kuasa yang lebih luas diberikan kepada Dewan Undangan Negeri di dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah Syariah bagi orang Islam.

9. Dengan mengambil pertimbangan keadaan yang sedang kita hadapi ini, Beta berpandangan, adalah perlu satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan dari keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Jawatankuasa Khas ini perlu mengemukakan cadangan pindaan terhadap  undang-undang yang berkaitan termasuklah peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu tersebut dapat dibuat.

10. Jawatankuasa Khas ini hendaklah dianggotai oleh pakar undang-undang Perlembagaan, undang-undang sivil dan Syariah serta ahli-ahli akademik dan tidak ketinggalan pengamal undang-undang yang mempunyai kelayakan, kemahiran dan pengalaman yang luas dalam kedua-dua bidang undang-undang sivil dan Syariah. Beta berharap YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-ehwal Agama Islam) dapat mengambil langkah-langkah segera bagi pembentukan Jawatankuasa Khas tersebut dan mengemukakan syor kepada MKI dan seterusnya Majlis Raja-Raja ke arah penyelesaian kepada permasalahan ini.

MEMPERKASAKAN PENGURUSAN HALAL DI MALAYSIA

11. Sebagaimana kita sedia maklum, pensijilan dan logo halal Malaysia telah mendapat kepercayaan Negara-Negara Islam dan badan-badan pensijilan halal di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini berjaya dilakar apabila Malaysia menjadi Negara pertama yang berjaya mengeluarkan standard halal yang komprehensif selaras dengan keperluan ISO untuk dijadikan panduan dalam pensijilan serta tahap integriti yang tinggi dalam mengesahkan persijilan Halal Malaysia. Berikutan dengan itu sukacita Beta menggesa agar urusan pensijilan halal di peringkat domestik dan antarabangsa terus dikekalkan di bawah JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sebagaimana yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Raja Raja Yang Ke-222 pada 12 Oktober 2010.

12. Dalam hubungan ini juga, Beta mahu agar Kerajaan Malaysia mengambil  langkah strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan halal (Malaysia Halal Excellence Centre) terunggul di peringkat dunia. Langkah ini penting untuk melonjakkan legasi Malaysia sebagai peneraju halal global demi menjana kemajuan ekonomi umat Islam di Malaysia.

13. Pusat kecemerlangan Halal Malaysia ini juga, akan berperanan sebagai one  stop centre yang akan menjadikan Malaysia sebagai peneraju dan rujukan utama dalam pengurusan pensijilan halal di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa di samping meningkatkan kredibiliti dan integriti pensijilan halal  Malaysia di persada dunia melalui aktiviti penyelidikan dan latihan amal.

14. Menyedari bahawa pensijilan Halal Malaysia semakin berkembang maju di peringkat domestik dan antarabangsa, Beta menyarankan agar pihak  kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri melengkapkan keperluan sumber tenaga manusia,  infrastruktur dan logistik di  Bahagian Pengurusan Halal masing-masing agar pengurusan pensijilan halal dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan bagi memenuhi tuntutan industri halal pada masa kini tanpa membelakangkan aspek integriti dan perundangan Negara. Segala rungutan berkaitan dengan karenah birokrasi yang rumit bagi mendapatkan sijil halal yang mengakibatkan kelewatan di dalam memperolehi sijil halal perlu segara diatasi  agar Negara kita terus kekal menjadi pesaing utama di dalam industri halal ini.

15. Di dalam kita melakar kecemerlangan di dalam pengurusan pensijilan halal ini, ada kedengaran masalah mendapatkan bekalan daging-daging halal dari luar negara termasuk juga daging-daging halal bermutu tinggi yang mencukupi untuk keperluan Negara kita terutama pada musim-musim perayaan. Kesukaran ini dikaitkan dengan karenah birokrasi dan kekurangan sumber manusia di dalam mengendalikan permintaan yang tinggi pada sesuatu masa. Oleh itu Beta menyarankan agar masalah kekurangan bekalan daging halal bermutu ini dapat segera di atasi dan proses mendapatkan pensijilan halal tanpa karenah birokrasi yang membebankan perlu segera diperkenalkan.

KOMITMEN MKI DALAM MEMPERKASA PENDIDIKAN ISLAM

16. Salah satu fungsi utama MKI adalah berkenaan pendidikan Agama Islam. Beta berpandangan ia merupakan manifestasi kepercayaan Majlis Raja-Raja untuk melihat tadbir urus Institusi Pendidikan Islam di Malaysia dapat diselaraskan dengan lebih baik dan teratur. Ini kerana ia memberi kesan kepada pembangunan modal insan dan sumber manusia terlatih yang berteraskan kepada Agama Islam pada masa akan datang. Di samping itu, MKI juga berperanan sebagai pemudahcara dan penyelaras serta penghubung kepada pelbagai agensi kerajaan, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri bagi meningkatkan sistem pembelajaran dan pendidikan  Islam di Institusi Pendidikan Islam.

17. Antara kejayaan MKI dalam memacu pendidikan Islam adalah menerusi  pelaksanaan Program KAFA sejak tahun 1990 yang diuruskan oleh JAKIM.  Beta berasa bangga, JAKIM telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan begitu cemerlang dalam menyelaras pelaksanaan Program KAFA di seluruh  Negara termasuk bagi penyaluran bayaran elaun kepada tiga puluh lima ribu (35,000) orang guru KAFA dengan jumlah peruntukan lebih Ringgit Malaysia Lima Ratus Dua Puluh Sembilan Juta (RM529 juta) setahun.

18. Selain itu, Beta juga difahamkan bahawa program ini telah berkembang dengan  baik, sehingga pada masa ini murid KAFA di seluruh Negara berjumlah seramai satu perpuluhan empat (1.4) juta orang. Hasilnya, masyarakat mengakui sememangnya Program KAFA sangat signifikan dalam membentuk sahsiah kanak-kanak  Islam yang berada dalam lingkungan umur 7 hingga 12 tahun. Pencapaian  murid-murid KAFA dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) juga sangat memberangsangkan pada setiap tahun sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1994. Beta berharap agar inisiatif pemerkasaan Program KAFA dapat terus dilaksanakan dari  semasa ke semasa demi manfaat guru-guru dan murid-murid KAFA secara keseluruhannya.

19. Peningkatan jumlah pelajar di seluruh institusi pendidikan Islam dari tahun ke  tahun menggambarkan kesedaran rakyat terhadap pentingnya pendidikan Islam dalam kehidupan. Dalam hubungan ini, adalah menjadi tanggungjawab  semua pihak untuk memastikan institusi pendidikan itu berkualiti serta memenuhi  aspirasi ibu bapa, masyarakat dan Negara untuk melahirkan pelajar cemerlang di dunia dan di akhirat.

20. Bagi menjamin kualiti pendidikan berterusan di kalangan murid-murid di Institusi Pendidikan Islam seperti contoh sekolah-sekolah tahfiz, Pihak Berkuasa Agama negeri Selangor umpamanya telah mewajibkan pendaftaran  bagi sekolah-sekolah-sekolah tahfiz swasta dan persendirian agar tata kelola yang baik, seragam dan sistematik dapat dilaksanakan. Dengan melakukan pendaftaran, silibus yang standard dan berkualiti yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri juga dapat digunapakai dan satu sistem pemantauan yang efektif dapat dilaksanakan.

21. Baru-baru ini telah berlaku kekecohan tentang fitnah yang telah dilemparkan terhadap Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor dan pihak PBT Selangor kononnya lebih daripada 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup yang mengakibatkan beribu pelajar tahfiz telah hilang tempat untuk belajar. Sesungguhnya fitnah sebegini amat tidak bertanggungjawab dan amat Beta kesali kerana ianya telah secara tidak langsung merisaukan para ibubapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap Institusi Agama dan Pihak Berkuasa Agama khususnya di negeri Selangor. Beta mahu mereka yang sering melemparkan fitnah dan tohmahan agar mendapatkan fakta yang tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan yang tidak berasas. Golongan ini perlu segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab ini dan andaikata mereka meneruskan perbuatan fitnah dan khianat ini, Beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Di dalam pada itu, Beta merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Menteri Hal Ehwal Agama Islam kerana telah mengeluarkan kenyataan mempertahankan Pihak Berkuasa Agama negeri Selangor dan memperbetulkan fakta atas tohmahan yang telah dilemparkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

22. Pada hakikatnya Beta telah menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu. Tempoh masa lebih dua tahun telah diberikan bagi memastikan sekolah-sekolah ini mempunyai cukup waktu untuk mengambil langkah untuk mendaftar. Malah Lembaga Zakat Selangor juga telah memberikan peruntukan sebanyak tiga perpuluhan tiga lima (3.35) juta ringgit untuk membantu pihak sekolah tahfiz untuk membayar kos konsultasi bagi melaksanakan segala proses seperti kebenaran merancang dan seterusnya mendapatkan kelulusan dari pihak PBT.  Oleh itu Beta menyeru kepada mana-mana Institusi tahfiz swasta dan persendiran yang belum berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Islam negeri agar segera melaksanakannya supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan seperti mana yang diterima oleh Institusi pendidikan Islam yang berdaftar. Pihak Berkuasa Agama negeri juga diseru agar terus memainkan peranan secara optimum dalam membantu dan menjadi  pemudahcara untuk Institusi Pendidikan Islam berkenaan berdaftar secara sah.  Bagi tujuan tersebut, Beta mencadangkan agar pihak JAKIM menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran Institusi-institusi Tahfiz Swasta dan Persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri.

ISLAM AGAMA PERPADUAN DAN TOLERANSI

23. Islam melalui pelaksanaan prinsip Syariah dapat dilihat sebagai agama yang bersifat inklusif dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat.  Sejajar dengan prinsip ini, kerajaan disarankan memberi tumpuan kepada pembinaan  akhlak dan jati diri masyarakat tanpa mengira kaum, agama, warna  kulit, fahaman politik dan budaya. Pendekatan dakwah yang lebih bijaksana  dan inklusif dapat membina persefahaman serta memelihara hubungan baik  antara satu sama lain.

24. Semasa Beta menunaikan haji di Tanah Suci baru-baru ini, Beta dapat saksikan sendiri masyarakat pelbagai bangsa, bahasa, warna kulit, darjat yang  berbeza tidak menghalang umat Islam dari seluruh pelusuk dunia untuk melaksanakan ibadah Haji dengan aman, tertib dan teratur. Malah ibadah Haji memberikan suatu kesedaran bahawa di sebalik segala perbezaan yang ketara pada zahirnya, namun pada hakikatnya umat Islam bersaudara dan membentuk suatu kesatuan yang utuh dengan berkiblatkan ke arah yang satu yakni Baitullah al Haram. Renungkanlah firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: ‘sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu yakni bagi mereka yang berselisih pendapat dan bertaqwalah kamu kepada Allah agar kamu mendapat RahmatNya.’

25. Hasrat untuk melihat perpaduan yang lebih kukuh di kalangan umat Islam di Negara ini haruslah bermula daripada kepimpinan alim ulama kita sendiri, khususnya dalam kalangan Mufti-mufti dan Ahli-ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI. Beta perhatikan kadangkala masih ada kecenderungan di kalangan sesetengah pihak untuk membangkitkan pendapat dan pandangan secara terbuka berkaitan beberapa isu sensitif yang seharusnya dibincang melalui forum MKI. Sebagai contohnya, baru-baru ini masih ada yang mempertikaikan kaedah rukyah dalam menetapkan tarikh permulaan Ramadhan  serta menentukan anak bulan Syawal seperti yang telah dipersetujui di dalam mesyuarat pegawai-pegawai kanan negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Sedangkan kaedah rukyah ini bertepatan dan selari dengan sandaran  agama kita yang mengambil kira ilmu hisab dan sains astronomi moden. Pandangan ini bersandarkan kepada dalil dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: ‘Barangsiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu.’

26. Beta berasa dukacita dengan perkembangan ini, kerana walaupun mereka menyatakan tujuannya adalah untuk menegakkan hujah, tapi kenapa sampai menimbulkan keraguan tentang kearifan para mufti yang memahami ilmu falak dan mengambil keputusan yang tidak bertepatan dengan apa yang telah dipersetujui. Ini sudah tentunya menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam yang akhirnya boleh mengundang kepada perpecahan.  Oleh itu Beta menyarankan bagi mengelak sebarang kekeliruan pada masa akan datang, JAKIM hendaklah mengeluarkan satu ketetapan yang muktamad berkaitan dengan kaedah penentuan tarikh permulaan Ramadhan serta menentukan anak bulan Syawwal melalui ruqyah dan hisab.

27. Sebelum Beta mengakhiri titah ucapan Beta, suka Beta mengingatkan bahawa MKI adalah sebuah institusi yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, bukan sahaja dari segi penubuhan, malah dari segi keahliannya. Keanggotaan utama dalam MKI adalah daripada wakil negeri-negeri yang memainkan peranan yang amat penting di dalam menyelaras hal ehwal Islam. Justeru itu, Beta amat berharap agar negeri- negeri yang masih belum menganggotai MKI dapat menyahut pelawaan dan menganggotai platform musyawarah MKI ini secara rasmi.

28. Walaupun telah banyak kejayaan dicapai melalui rundingan di platform MKI, namun masih terdapat pelbagai perkara yang masih belum selesai yang memerlukan penglibatan semua Ahli-ahli mesyuarat mencetuskan idea dan buah fikiran yang bernas. Peradaban manusia yang terus berkembang memerlukan Institusi Agama bergerak secara lebih dinamik serta berpandangan jauh  kehadapan. Ia tidak akan tersasar selagi mana berpaksikan kepada objektif hukum syarak iaitu untuk menjaga maslahah agama, nyawa, akal, harta dan keturunan, menegakkan kebaikan dan mencegah anasir-anasir yang membawa keburukan. Beta mahu MKI berperanan secara  optimum selari dengan fungsinya sebagaimana yang digariskan dalam Peraturan- Peraturan MKI 2022. Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha mencernakan pemikiran demi menghasilkan sesuatu yang cemerlang untuk Negara dan rakyat. Adalah menjadi harapan Beta agar semua pihak dapat menunaikan amanah yang digalas ini dengan ikhlas dan jujur.

29. Beta akhiri titah Beta dengan dua rangkap puisi yang dipetik daripada karangan Almarhum Nenda Beta Sultan Ala’eddin Suleiman Shah di dalam risalah Nasihat Guru Pada Murid.

Tuntutlah ilmu akhirat dunya,
Hidup matimu dapat bahagia,
Ke manamu pergi jadi mulia,
Tidaklah hidup sia-sia.

Agama Islam amat sebenar,
Peraturannya cukup benar,
Tetaplah padanya jangan nanar,
Beroleh kebajikan yang bersinar.


Sekian,

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.