Skip to main content

Malaysia

Titik panas di Indonesia turun kepada 96, kebakaran tanah gambut masih jadi cabaran

Daripada 96 titik panas yang dikesan di seluruh Indonesia, sebanyak 19 direkodkan di enam wilayah, dengan 15 di Kalimantan Tengah, tiga di Sumatera Selatan dan satu di Kalimantan Selatan. - Gambar fail
Daripada 96 titik panas yang dikesan di seluruh Indonesia, sebanyak 19 direkodkan di enam wilayah, dengan 15 di Kalimantan Tengah, tiga di Sumatera Selatan dan satu di Kalimantan Selatan. - Gambar fail

Advertisement

Ringkasan AI

  • Jumlah titik panas kebakaran hutan dan tanah di Indonesia menurun kepada 96 berbanding 160 sehari sebelumnya, menurut Kementerian Perhutanan Indonesia.
  • Kalimantan Tengah mencatatkan peningkatan titik panas kepada 15, dengan kebakaran bawah permukaan tanah gambut menyukarkan operasi pemadaman.
  • Sebanyak 61 pesawat, termasuk 37 helikopter pemadam, masih dikerahkan dan orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka serta segera melaporkan sebarang kebakaran.
Advertisement

JAKARTA: Jumlah titik panas kebakaran hutan dan tanah di Indonesia menurun kepada 96 berbanding 160 sehari sebelumnya, namun peningkatan titik panas di Kalimantan Tengah serta kebakaran yang berterusan di bawah permukaan tanah gambut masih menyukarkan usaha pemadaman.

Kementerian Perhutanan Indonesia memaklumkan bahawa jumlah titik panas dengan tahap keyakinan pengesanan yang tinggi di seluruh negara berkurangan sebanyak 64 setakat 9 malam Sabtu, namun Kalimantan Tengah mencatatkan peningkatan daripada 12 kepada 15 titik panas.

Daripada 96 titik panas yang dikesan di seluruh negara, sebanyak 19 direkodkan di enam wilayah, dengan 15 di Kalimantan Tengah, tiga di Sumatera Selatan dan satu di Kalimantan Selatan.

Advertisement

"Kalimantan Tengah kekal menjadi antara kawasan tumpuan utama dalam usaha mengawal kebakaran hutan dan tanah.

"Keadaan tanah gambut menyebabkan operasi pemadaman mengambil masa lebih lama kerana api boleh terus membara dan merebak di bawah permukaan tanah walaupun kebakaran di permukaan telah dipadamkan atau selepas hujan turun," menurut kementerian itu dalam kemas kini terbaharu yang dimuat naik di Instagram pada Ahad.

Advertisement

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa Menteri Perhutanan Raja Juli Antoni telah meninjau kawasan yang sebelum ini terjejas akibat kebakaran di Kalimantan Tengah bagi menilai keadaan serta memastikan usaha pemantauan dan penguatkuasaan diteruskan.

Sebanyak 61 pesawat termasuk helikopter, masih dikerahkan bagi operasi memadamkan kebakaran, dengan 24 digunakan untuk rondaan udara dan pengubahsuaian cuaca, manakala 37 helikopter menjalankan operasi pemadaman. 

Kementerian itu turut menggesa penduduk dan pihak perniagaan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi tujuan pembersihan tanah serta segera melaporkan sebarang tanda asap atau kebakaran.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement