KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah supaya kerajaan negeri mempertingkat kadar vaksinasi harian bagi melawan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat saban hari.

Baginda dalam satu kenyataan di Facebook beritah, meskipun negeri itu kini mencatatkan 50,000 dos dalam masa sehari, namun adalah lebih baik jika ia boleh dipertingkat kepada 70,000.

“Kadar jangkitan COVID-19 di Johor kini berada di tahap yang amat membimbangkan.

“Memandangkan situasi ini, saya berpendapat bahawa kadar vaksinasi perlu dipertingkatkan lagi sehingga 70 ribu dos sehari secepat mungkin,” titah baginda.

Tunku Ismail dalam pada itu mencadangkan supaya ‘Operation Surge Capacity’ turut dilaksanakan di Johor.

“Saya menyeru kepada kerajaan untuk meningkatkan lagi bekalan vaksin kepada Johor supaya kadar vaksinasi dapat dipertingkatkan supaya imuniti kelompok boleh dicapai lebih awal.

“Dengan varian Delta yang sangat berjangkit ini sedang menular, hanya vaksinasi yang dapat membendung wabak ini secara berkesan,” titah Tunku Ismail.

Hari ini, Johor melaporkan 1,162 lagi kes harian dengan menjadikan jumlah keseluruhan menolak naik kepada 95,387 setakat 4 Ogos 2021.