KUALA LUMPUR : Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Hutan Bandar, Johor Bahru dijadikan pusat operasi Jawatankuasa Khas (Special Task Force) COVID-19 (STFC) negeri itu.

Ia sebagai usaha proaktif dalam menangani situasi pandemik COVID-19 di negeri berkenaan, kata Baginda.

"TMIYC Hutan Bandar akan menjadi pusat tumpuan bagi segala inisiatif STFC Johor sepanjang masa pandemik ini sehinggalah situasi di Johor kembali normal.

"Diharapkan ini dapat membantu usaha dan inisiatif STFC Johor dalam pengurusan wabak COVID-19," ujarnya dalam satu perkongsian di laman Facebook pada Khamis.

 
Sumber Facebook hrhcrownprinceofjohor

Terdahulu, pada 17 September, Baginda telah mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas (Special Task Force COVID-19) peringkat negeri Johor.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R. Vidyananthan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr. Aman Rabu serta pakar-pakar kesihatan dan pengurusan pandemik.

Baginda bertitah, jawatankuasa khas berkenaan, berperanan untuk memantau dan memperbaiki proses yang digunakan bagi sistem menyaring, mengasingkan, mengawasi, dan merawat pesakit COVID-19, agar keadaan wabak adalah sentiasa dalam kawalan.

Negara hari ini mencatatkan 12,735 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui ciapan di laman Twitternya memaklumkan, tambahan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara kini ialah 2,245,695 kes.

Jumlah kes di Johor dicatatkan pada angka 1,241 kes, menjadikan jumlah kumulatifnya sehingga kini kepada 195,845.