KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan untuk menjana 8,300MW tenaga boleh baharu melalui ladang solar berskala besar menjelang tahun 2025.

Ketua Pegawai Operasi TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata angka tersebut merupakan peningkatan daripada kapasiti pengeluaran sedia ada iaitu sekitar 4,000MW.

"Dari sudut penjanaan, kita sedang laksanakan langkah untuk menambah penjanaan daripada tenaga boleh diperbaharui (RE).

"Kita sedang bina ladang solar berskala besar dengan sasaran keupayaan menjana tenaga sehingga 8,300MW pada tahun 2025, berbanding sekitar 4,000MW ketika ini. Buat masa ini kita menggunakan dua kaedah iaitu pemasangan solar atas tanah dan permukaan air," katanya

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Megat Jalaluddin menjelaskan buat masa ini TNB mempunyai tiga sumber utama tenaga boleh baharu iaitu tenaga hidro, ladang solar dan pemasangan solar di atas bumbung-bumbung rumah.

TNB juga jelasnya sudah bersedia untuk mengkomersialkan penggunaan tenaga hidrogen sebagai langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Teknologi yang memecahkan molekul air yang kemudiannya mengambil hidrogen sebagai kuasa tenaga itu adalah mesra alam, bersih dan tidak mencemarkan alam.