Sebuah pasukan khas peringkat tinggi (high level task force) telah dibentuk Tenaga Nasional Berhad (YNB) khusus bagi menangani isu bil pengguna yang naik lebih daripada kebiasaan baru-baru ini.

Penubuhan Pasukan Khas Tangani Bil Tinggi TNB yang diketuai Ketua Pegawai Runcit, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan diumumkan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Amir Hamzah Azizan pada Jumaat.

“Pasukan ini akan memantau dan menyemak semua laporan atau aduan yang diterima. Ia akan dikekalkan sebagai mekanisma sokongan selagi diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar mengenai isu bil tinggi di ibu pejabat TNB yang dihadiri oleh lebih 50 pengamal media.

Beliau turut menyentuh andaian isu teknikal memberi kesan kepada sistem pengebilan TNB dan mengakibatkan sesetengah pelanggan lewat menerima bil elektrik masing-masing.

“Kami ingin jelaskan, sistem kami mengalami gangguan pada 15 hingga 20 Mei lalu menyebabkan segelintir pengguna menerima bil yang tinggi," katanya.

Bagaimanapun, Amir menekankan sistem tersebut telah pulih sepenuhnya dan beroperasi dengan sempurna dan lancar.

Tambahnya, akibat daripada gangguan berkenaan, tempoh pengebilan yang panjang dari lazim telah berlaku dalam kalangan pelanggan.

Amir juga berkata, TNB secara berterusan akan berkongsi status terkini dan memberi kerjasama penuh berkaitan isu bil tinggi dengan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC) dan Surujanjaya Tenaga (ST).

Ditanya berkemungkinan TNB akan dikenakan tindakan oleh ST mengikut Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990, Amir Hamzah menegaskan, keutamaan syarikat itu ketika ini ialah mahu menyelesaikan aduan pelanggan.

“Fokus kami sekarang mahu menyelesaikan isu ini terlebih dulu dan perkara lain saya tak nak cakap,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Jalaluddin berkata, berdasarkan aduan yang diselesaikan pihaknya mendapati ada beberapa punca menyebabkan peningkatan bil elektrik.

“Ia adalah tempoh bacaan bil panjang berikutan gangguan sistem pengebilan, meter lama ditukar kepada baharu, gangguan pada meter dan penambahan peralatan elektrik di premis pengguna,” katanya.