Tindakan seorang tokan dadah cuba melarikan diri daripada ditahan polis dengan memanjat atap rumah penduduk di Kampung Wawasan 1, Jalan Dam di sini, gagal apabila terjatuh dan dicekup anggota Ops Tapis pada Rabu.

Dalam kejadian 5.20 petang itu, suspek seorang lelaki warga Indonesia berumur 39 tahun yang tidak bekerja tetapi aktif mengedar dadah sejak tahun 2014 serta memiliki empat rekod jenayah lampau termasuk satu rekod mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cuba membunuh), ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) di sini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata, anggota operasi yang menjalankan tugas Ops terserempak suspek yang berkelakuan mencurigakan sebelum ditahan dan bertindak agresif dengan cuba melarikan diri.

"Suspek melarikan diri dengan memanjat zink rumah penduduk kampung sehingga menyebabkan kerosakan dan berlaku pergelutan dengan polis sebelum ditahan.

"Ekoran itu suspek mengalami kecederaan di bahagian muka, luka di tangan kanan serta kedua-dua pergelangan kaki," katanya dalam kenyataan di sini.

Nasri berkata pemeriksaan awal menemukan suspek bersama 51.60 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM7,740 serta satu paket plastik berisi 30 gulung kertas timah di dalam poket seluar dipakainya.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Nasri berkata suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Menurut Fadil, pada tahun 2015 suspek pernah ditahan di Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 39A(2) akta sama pada tahun 2016 di Lahad Datu.

-- BERNAMA