KUALA LUMPUR: Pengguna boleh menggunakan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Fasa Pertama bermula 12 tengah hari esok.

Malah, menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pengguna di lebuh raya itu juga akan menikmati tol percuma selama sebulan sempena pembukaanya.

“Mengambil semangat Keluarga Malaysia dan sambutan Hari Malaysia 2022, dengan lafaz bismillah, saya mengumumkan pembukaan fasa pertama Lebuhraya SUKE melibatkan jajaran sepanjang 16.6 kilometer bermula dari persimpangan Cheras-Kajang dan berakhir di persimpangan Bukit Antarabangsa secara rasmi kepada pengguna.

"Saya juga ingin mengumumkan bahawa tol diberi secara percuma selama sebulan bermula 12 tengah hari, 16 September 2022,” katanya dalam ucapan perasmianya di sini malam ini.

Pembukaan lebuh raya itu melibatkan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang serta 11 persimpangan keluar dan masuk.

Jajaran sepanjang 16.6 kilometer itu bermula dari Persimpangan Cheras-Kajang dan berakhir di Persimpangan Bukit Antarabangsa serta 11 persimpangan keluar dan masuk.

Tambah Fadillah, pengguna juga masih boleh memilih untuk menggunakan laluan alternatif tanpa tol sedia ada iaitu Jalan Lok Yew dan MRR2.

Jelas beliau, pembinaan Lebuhraya SUKE telah berjaya mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai peringkat dalam bidang pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak.

“SUKE adalah satu daripada 53 projek berimpak tinggi di bawah Program Transformasi Ekonomo (ETP) yang bermatlamat untuk mencipta pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta mencipta aktiviti2 ekonomi lebih besar,” katanya lagi.