KUALA LUMPUR: Sebahagian kecil ruang belakang sebuah bangunan berdekatan Jalan Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak yang dalam pembinaan dekat sini, terbakar 70 peratus selepas tong gas kimpalan di ruangan itu meletup dan terbakar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 2.17 petang semalam, sebelum pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian.

"Setibanya di situ disahkan terdapat kebakaran melibatkan dua buah tong gas jenis asetilena.

"Kebakaran berjaya dikawal pada 2.30 petang dan tidak ada mangsa terlibat, manakala punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan di bangunan berkenaan berkata semasa kejadian dia berada di lobi bangunan itu apabila tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat.

"Letupan itu disusuli dengan kepulan asap memenuhi ruang bahagian belakang tempat tong gas kimpalan itu diletakkan," katanya.

-- BERNAMA