KUALA LUMPUR: Semua kerja pembinaan di seluruh negara adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang akan bermula 1 Jun ini.

Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, pengecualian hanya diberikan kepada kerja-kerja yang disenaraikan dalam perkhidmatan kritikal.

Aktiviti-aktiviti yang dibenarkan dalam Sektor Pembinaan adalah:

A. Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal, iaitu kerja yang mana jika sekiranya tidak diteruskan boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan kepada pekerja, orang awam atau persekitaran, meliputi:
a) Penyelenggaraan dan pembaikan cerun, jalan raya, jambatan, kawalan pengurusan trafik (Traffic Management Control), dan lampu isyarat;
b) Pemeriksaan berkala dan pembaikan lif/ travelator/ escalator dan lain-lain peralatan mekanikal dan elektrikal yang kritikal;
c) Pembaikan, penyelenggaraan dan naik taraf fasiliti di premis-premis perkhidmatan kritikal;
d) Kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengeringan air bertakung, penyemburan racun serangga di tapak bina bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes dan lain-lain haiwan perosak;
e) Pembaikan dan penyelenggaraan landasan keretapi seperti MRT, LRT, komuter, single/ double track dan projek rel
f) Pembaikan kediaman perseorangan; dan
g) Pembinaan Bailey Bridge di lokasi jambatan roboh.

B. Kerja-kerja pembinaan melibatkan infrastruktur awam utama dan kritikal meliputi:
a) Terowong;
b) Cerun
c) Jambatan dan viaduct;
d) Lebuhraya yang disahkan mencapai kemajuan fizikal lapan puluh (80%) dan ke atas;
e) Infrastruktur awam utama termasuklah MRT, LRT, ECRL, komuter, single/double track dan projek rel;
f) Infrastruktur berkaitan elektrik, telekomunikasi, empangan, saliran dan pembentungan, minyak dan gas;
g) Kerja-kerja hospital yang disahkan mencapai kemajuan fizikal lapan puluh (80%) dan ke atas;
h) Kerja pembinaan bangunan yang mempunyai penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina.

C. Perkhidmatan profesional/ perunding yang terlibat bagi kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi seperti yang disenaraikan di item (A) dan (B) seperti di atas; dan

D. Perkhidmatan dalam rantaian bekalan yang terlibat bagi kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi seperti di item (A) dan (B) seperti di atas.

Beliau berkata, kesemua kontraktor yang terlibat dengan projek-projek yang tersenarai di atas perlu mendapatkan kelulusan baharu menerusi CIMS Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di laman web cims.cidb.gov.my untuk tempoh PKP bermula 1 Jun 2021.

"Bagi syarikat perunding dan pembekal, permohonan kebenaran beroperasi perlu dibuat melalui kontrakor utama yang bertanggungjawab memasukkan maklumat semua syarikat perunding dan pembekal perkhidmatan yang berkaitan dengan projek berkenaan ke dalam sistem.

"Kesemua kelulusan sebelum ini tidak boleh diguna pakai dalam tempoh ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain menghadkan kapasiti pekerja kepada 60 peratus sahaja, Kementerian Kerja Raya turut mewajibkan ujian pengesanan COVID-19 dan tidak dibenarkan untuk berpindah dari satu tapak pembinaan ke lokasi lain.