MALAYSIA
TPM Ahmad Zahid tekankan diplomasi pintar dalam hubungan Malaysia-Amerika Syarikat

Ahmad Zahid berkata perkara itu disentuh ketika beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu dilantik, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob. - FB Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keterlibatan diplomatik Malaysia di Amerika Syarikat perlu disusun dengan rapi berteraskan diplomasi pintar dan berpaksikan kepentingan nasional yang holistik.
Beliau berkata ini kerana Amerika Syarikat merupakan antara kuasa ekonomi utama dunia selain menyaksikan dinamik pentadbiran yang berbeza.
Ahmad Zahid berkata perkara itu disentuh ketika beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu dilantik, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.
"Pertemuan ini turut menyentuh secara umum mengenai kepentingan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat, khususnya dalam sektor pelaburan, keselamatan, teknologi serta hubungan strategik pelbagai dimensi yang mampu membawa manfaat bersama," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.Ahmad Zahid turut mendoakan Muhammad Shahrul Ikram diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam menggalas amanah besar itu serta terus cemerlang membawa suara dan kepentingan Malaysia di pentas antarabangsa.
Pada 3 Jun lepas, Kementerian Luar memaklumkan Muhammad Shahrul Ikram yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu.
Menurut kementerian berkenaan, pelantikan itu telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam istiadat pengurniaan watikah di Istana Negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami