Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon umat Islam di negara ini mendoakan agar umat Islam di Palestin, Mesir, Syria dan di negara-negara lain yang sedang bergolak cekal mengharungi dugaan sempena bulan Ramadan.

“Mudah-mudahan pergolakan yang berlaku di negara-negara ini segera berakhir dan umat Islam di sana dikurniakan nikmat keamanan dan kemakmuran yang berkekalan oleh Allah s.w.t.

“Rakyat Malaysia, terutama umat Islam seharusnya bersyukur kerana kita dapat menunaikan ibadah puasa dan melaksanakan amalan-amalan lain sepanjang bulan Ramadan dalam suasana yang aman dan makmur.” kata beliau dalam perutusan khas sempena kedatangan bulan Ramadan yang bermula esok.

Beliau juga menyeru agar persaudaraan dan perpaduan ummah Islam dikukuhkan agar ia sentiasa disanjung tinggi dan dipandang mulia oleh umat manusia.

“Simbol perpaduan ummah sejagat ini lebih terserlah apabila umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira batas sempadan bangsa dan negara, bahasa dan budaya sama-sama menyambut kehadiran bulan yang mulia ini dengan menjalani ibadah puasa dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.,” tambah Muhyiddin.

Beliau yang merupakan Menteri Pendidikan juga berharap agar umat Islam di Malaysia dapat menghiasi bulan Ramadan ini dengan memperbanyakkan amal kebajikan dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

“Mudah-mudahan ibadah puasa yang kita jalani sepanjang bulan Ramadan ini akan menjadikan kita insan yang sabar menempuhi ujian dan dugaan yang mendatang.

“Ibadat zakat fitrah yang kita tunaikan dan sedekah jariah yang kita sering amalkan sepanjang bulan Ramadan juga mudah-mudahan dapat menyemai rasa kasih sayang kita kepada sesama insan,” akhiri beliau.