Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan siasatan berhubung isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diteruskan sehingga selesai.

Menurutnya, setiap pemimpin ada ujian tersendiri dan penyelesaian masalah perlu dilakukan.

Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau bersama Badan Perhubungan UMNO menyokong siasatan diteruskan sehingga menemui jalan penyelesaian.

"Seseorang pemimpin tidak hebat kepimpinannya kalau tidak diuji dengan ujian yang datang tapi bagaimana permasalahan itu mahu diselesaikan.

"Saya mengakui keputusan Badan Perhubungan UMNO Johor yang didokong oleh kepimpinan mahu bahawa siasatan diteruskan sehingga ada penyelesaian.

"Itu pendirian saya menyokong gagasan Johor dan siasatan akan diteruskan sehingga masalah diselesaikan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi di sini, hari ini.


Ujar Zahid, walau apa pun isunya, ahli Umno diminta supaya tidak terpengaruh dengan hasutan sesetengah pihak.

Katanya, maklumat diperolehi dari media sosial yang tidak mempunyai kredibiliti perlu dielakkan kerana boleh meruntuhkan parti.