PASIR SALAK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersedia menyokong cadangan untuk menjadikan kawasan Parlimen Pasir Salak sebagai sebuah daerah baharu, yang ke-13 di negeri Perak.

Katanya ini kerana kawasan yang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik dan Kampung Gajah itu mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagaimana yang telah dimulakan sewaktu kepimpinan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib sebelum ini.

Justeru Ahmad  Zahid berharap perkara itu dapat direalisasikan sebagaimana kawasan Bagan Datuk yang telah diisytiharkan sebagai sebuah daerah baharu di negeri itu pada Januari 2017.

“Pasir Salak dan juga Bagan Datuk akan sama-sama naik (membangun) tetapi saya harap Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun untuk usahakan agar bukan hanya Kampung Gajah, malah Pasir Salak ini dapat dijadikan sebagai daerah penuh yang ke-13 di Perak.

“Cuba berunding elok-elok dengan Menteri Besar, kemudian minta untuk hantar (permohonan rasmi) kepada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan.

“Insya-Allah jika sampai (permohonan rasmi itu) kepada saya, saya wajib sokong apabila ia dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak di sini pada Sabtu.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak merangkap Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; serta Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan.

Turut hadir wakil-wakil kepimpinan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Pakatan Harapan (PH) Perak.

Ketika ini dua DUN di bawah Parlimen Pasir Salak iaitu Kampung Gajah dan Sungai Manik masing-masing berada di bawah pentadbiran Daerah Perak Tengah dan Hilir Perak.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengumumkan kelulusan projek berjumlah RM4.5 juta termasuk bagi pembinaan semula rumah kedai di pekan kecil Seberang Perak yang hangus terbakar Februari lalu dan projek perhubungan jalan desa dalam Parlimen Pasir Salak.

Selain itu, beberapa cadangan dan permohonan projek-projek lain termasuk baik pulih dan naik taraf Kompleks Sejarah Pasir Salak, Kompleks Mini Stadium dan Litar Dato Sagor akan dibincangkan dengan kementerian yang berkaitan.

"Saya juga ingin umumkan bahawa jalan dan jambatan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop yang sebelum ini dijadual dibuka pada Aidilfitri akan dibuka sepenuhnya pada 31 Mei depan.

"Saya harap pembangunan ini akan dimanfaatkan bukan sahaja daripada segi infrastruktur, malah yang penting pembangunan ekonomi di kawasan Parlimen Pasir Salak dan Bagan Datuk," katanya lagi.