KUALA LUMPUR: Trafik penumpang udara di Malaysia mencatat peningkatan 71.7 peratus pada sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama pada tahun lepas, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, 62.83 juta penumpang udara direkodkan, dan bagi September sahaja jumlah penumpang udara ialah 7.17 juta, iaitu 3.3 juta penumpang bagi penerbangan antarabangsa serta 3.85 juta penumpang domestik.

“Kita menjangkakan menjelang tahun depan, jumlah penumpang penerbangan ini akan kembali kepada tahap pada tahun 2019 iaitu sebelum COVID-19 berlaku, ini sudah tentu amat penting untuk pembangunan dan pertumbuhan, bukan sahaja kepada sektor penerbangan tetapi kepada ekonomi Malaysia.

“Ini penting dari segi kehadiran pelancong dari luar negara ke Malaysia, kerana sektor pelancongan ialah satu pemangkin utama dari segi pertumbuhan ekonomi negara (sekali gus) melibatkan sektor perkhidmatan, perhotelan, peruncitan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (NACC), di sini hari ini.

Beliau berkata pada 2019, Malaysia mengendalikan hampir lebih 100 juta penumpang udara di semua lapangan terbang seluruh negara dan menjangkakan dapat mencapai 80 peratus penumpang udara pada hujung tahun ini, iaitu lebih 80 juta penumpang.

Loke berkata oleh itu, NACC berperanan penting sebagai platform menghubungkan pihak berkepentingan dari lapangan terbang, syarikat penerbangan dan groundhandler, untuk bekerjasama dalam memastikan sektor penerbangan berjalan lancar, seterusnya menambah kesalinghubungan kepada lebih banyak destinasi penerbangan.

“Kita masih di belakang dari segi kesalinghubungan di ASEAN, kerana kita bukan tertinggi di peringkat ASEAN dan kita cuba usaha untuk memastikan bahawa kita terus berada di kedudukan lebih baik.

“Di ASEAN lapangan terbang kita dari segi indeks kesalinghubungan, kita di belakang Singapura, Bangkok dan Manila, kita berada di tangga keempat dengan jumlah destinasi yang telah kita ada dari Malaysia ialah 90 pada 2023 berbanding 137 pada 2019,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai status semasa syarikat penerbangan MYAirline dan usaha kerajaan dalam membantu syarikat tersebut, Loke berkata wakil daripada syarikat penerbangan itu perlu berjumpa dan berbincang dengan MAVCOM, selaku agensi di bawah Kementerian Pengangkutan terlebih dahulu.

“Mereka perlu berjumpa dengan kami dahulu, maksud saya, kami akan melihat kepada masalah (yang mereka hadapi) dari segi fasiliti, pelesenan, pengawal atau sokongan. Kami akan cuba untuk membantu untuk memberikan mereka sedikit ruang, tetapi mereka perlu datang kepada kami dan bagi tahu apa masalah mereka,” katanya.

Terdahulu, mesyuarat NACC yang julung-julung kali diadakan tahun ini, dihadiri 70 wakil kepimpinan tertinggi kementerian, jabatan, agensi dan pemain industri utama sektor penerbangan, tertumpu kepada aspek penerbangan hijau melalui pembentangan State Action Plan on Sustainable Aviation oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Loke berkata, ini susulan inisiatif kerajaan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), bagi mengemudi peralihan sektor tenaga ke arah mencapai sasaran pelepasan GHG sifar bersih seawal-awalnya pada 2050.

“NETR ini menggariskan tiga inisiatif di bawah sektor penerbangan, bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050, bagi penerbangan antarabangsa.

“Ini selaras dengan ketetapan yang dipersetujui melalui Matlamat Aspirasi Jangka Panjang (LTAG) di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050, dengan tumpuan kepada penyelesaian tenaga yang lebih bersih.

“Sasaran yang ditetapkan oleh NETR bagi sektor penerbangan adalah untuk mencapai sehingga 47 peratus Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) pada tahun 2050,” katanya.

Antara inisiatif tersebut ialah membangunkan pelan hala tuju menyeluruh, bagi pengurangan pelepasan karbon daripada sektor penerbangan yang akan diterajui Kementerian Pengangkutan.

Loke berkata, Kementerian Pengangkutan melalui CAAM sedang mengemas kini State Action Plan version 4, yang merupakan komitmen kerajaan untuk mengenal pasti langkah mitigasi serta pelan tindakan bagi mencapai sasaran karbon sifar bersih seawal tahun 2050, bagi sektor penerbangan antarabangsa.

Ini selaras dengan misi kementerian iaitu memastikan sistem pengangkutan pelbagai mod yang cekap, bersepadu, selamat, mampan dan mesra pengguna.

Beliau berkata mesyuarat NACC hari ini, turut memutuskan supaya cadangan mewajibkan pesawat mematikan enjin pesawat dan menggunakan Unit Kuasa Tambaan (APU) semasa parkir pesawat di lapangan terbang diteliti untuk dilaksanakan. 

“Dalam hal ini, Kementerian Pengangkutan bersama-sama MAVCOM dan CAAM serta MAHB, akan meneliti semua aspek perlaksanaan termasuk ketersediaan infrastruktur dan penguatkuasaan perundangan yang berkaitan, dalam mewajibkan pelaksanaan polisi ini.

“Pada masa sama, pihak swasta yang berminat untuk memberikan cadangan bagi penambahbaikan dalam menyediakan fasiliti berkaitan adalah dialu-alukan,” katanya.