BATU PAHAT: Kertas siasatan berhubung kejadian pasangan warga emas yang maut kerana makan hidangan ikan buntal di daerah Kluang telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP), untuk tindakan lanjut.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, kertas siasatan itu telah dihantar pada penghujung Mei lalu.

Bagaimanapun sehingga kini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak DPP.

"Saya mengambil maklum, sidang media waris pasangan warga emas terbabit di Kluang. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang dan JKNJ telah diminta menghantar laporan tentang perkembangan kertas siasatan kes tersebut.

"Saya dimaklumkan siasatan oleh PKD Kluang telah selesai dan laporan telah dihantar ke JKNJ. Seterusnya JKNJ sudah menghantar laporan terbabit kepada DDP agar tindakan selanjutnya dapat diambil.

"Namun, belum ada sebarang maklum balas daripada pihak pendakwaan. Saya harap tindakan undang-undang dapat diteruskan secepat mungkin," katanya.

Beliau ditemui pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Klinik Kesihatan Ayer Hitam di sini pada Isnin.

Sebelum itu pada Ahad, keluarga pasangan suami isteri yang maut selepas makan ikan buntal pada Mac lalu menggesa laporan siasatan diserahkan segera kepada mereka.

Anak pasangan tersebut, Ng Ai Lee, 51, berkata, sejak insiden menimpa ayahnya, Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, dan ibunya, Lim Siew Guan, 83, hingga kini mereka masih belum menerima sebarang laporan tentang kejadian tersebut.

Tian Soon mengakui wujud kekangan dari segi akta kerana terdapat dua akta berbeza iaitu Akta Makanan 1983 dan Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972 tentang larangan penjualan ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya.

"Seharusnya ada penambahbaikan dari segi akta tersebut. Saya pernah suarakan perkara tersebut dalam mesyuarat Exco bersama Menteri Kesihatan sebelum ini.

"Sewajarnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kuasa mutlak untuk ambil tindakan. Pada masa sekarang, terdapat percanggahan antara KKM dan Jabatan Perikanan.

"Oleh itu, saya minta KKM tambah baik akta sedia ada supaya penguatkuasaan lebih jelas dan tindakan dapat diambil tanpa pertindihan kuasa jabatan," katanya.

Sementara itu, Tian Soon memaklumkan Klinik Kesihatan Ayer Hitam yang sudah berusia 37 tahun akan dinaik taraf dengan peruntukkan bernilai RM1 juta daripada KKM

Selain itu Klinik Desa Parit Amil di Yong Peng turut akan dinaiktaraf dengan kos sebanyak RM600,000. - Sinar Harian