MALAYSIA
Tragedi konvoi makan malam: Seorang lagi pelajar maut

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Seremban, Mohd Hafidzal Zainal Abidin menunjukkan motosikal yang terlibat dalam kemalangan di KM262.5 Lebuhraya PLUS arah utara di Seremban semalam. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang lagi pelajar yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 262.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini pada Khamis meninggal dunia, sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang maut empat orang.
Muhammad Iman Rusidi, 19, yang merupakan penuntut Kolej Poly-Tech Mara Bangi disahkan meninggal dunia jam 12.30 tengah malam ketika sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan siasatan masih terus dilakukan.
Beliau juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian terbabit.Sebelum ini media melaporkan kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu membabitkan 15 motosikal yang ditunggang secara berkumpulan dari arah Senawang menghala ke Kuala Lumpur.
Siasatan mendapati, motosikal itu bergerak secara berkumpulan di lorong tengah dan kanan.
Namun, sebaik sampai di tempat kejadian, tiga motosikal dalam kumpulan itu yang berada di hadapan telah bergesel dan berlanggar sesama sendiri lalu terjatuh ke atas jalan raya.
Kejadian itu mengakibatkan 12 buah motosikal lain yang sedang bergerak dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar tiga buah motosikal tersebut.
Ia sekali gus mengakibatkan semua yang terlibat turut terjatuh di atas jalan dan pada masa sama, sebuah kereta serta sebuah lori turut dilanggar oleh sebahagian daripada 12 buah motosikal terbabit pada bahagian belakang dan sisi kenderaan.
Mangsa yang maut di lokasi iaitu Afkar Fitri Afendi, 19, Aliff Syahmi Abdul Hakim, 18 dan Azib Sulaiman, 20.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami