KUALA KANGSAR: Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini atas tuduhan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Khamis lalu.

Tertuduh, Mohammad Amirul Aznizam Razali, 28, membuat pengakuan itu selepas lima pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memandu sebuah treler dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20; Muhamad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.

Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara - Selatan arah utara pada jam 1 pagi, 12 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, di samping sabitan diendors pada lesen memandu, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, namun pihak pembelaan memohon lima pertuduhan itu disatukan agar jaminan dapat dikurangkan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan, dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad manakala tertuduh diwakili peguam G Ravishankar.