KOTA TINGGI: Mangsa ketiga dilaporkan hilang dalam tragedi lemas di Pantai Tanjung Lompat ditemukan di Tanjung Siang iaitu kira-kira 5 kilometer dari lokasi kejadian.
Muhammad Adib Hafiy Kamal, 16, dijumpai terapung oleh pasukan penyelamat dan orang awam pada jam 11.15 pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd Syamsuri Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu.
“Mangsa dibawa naik ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) jam 11.45 pagi bagi proses pengecaman oleh waris.
“Selepas disahkan waris, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dua daripada empat remaja berusia 16 tahun itu meninggal dunia selepas lemas.
Mangsa ialah Alif Taqiuddin Kamal Hasrul yang ditemui jam 1.15 petang pada Rabu dan Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor jam 1.53 petang semalam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga akan tertumpu kepada mengesan seorang lagi mangsa, Muhammad Haiman Fitri Supian. - Sinar Harian