Skip to main content

Malaysia

Tragedi Pantai Tanjung Lompat: Seorang ditemukan lemas, tiga masih hilang

KOTA TINGGI, 2 Sept - Anggota bomba dan penyelamat menjalankan operasi mencari empat remaja lelaki yang dikhuatiri lemas menggunakan teknik pencarian permukaan air di perairan Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar, di sini hari ini. Empat remaja berusia 16 tahun itu dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di pantai berkenaan pagi ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anggota bomba dan penyelamat menjalankan operasi mencari empat remaja lelaki yang dikhuatiri lemas menggunakan teknik pencarian permukaan air di perairan Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar, hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KOTA TINGGI: Seorang daripada empat remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Lompat di sini ditemukan lemas pada 1.25 tengah hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Mohd Syamsuri Mohamad berkata mayat mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

“Mangsa akan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Tiga lagi mangsa masih belum ditemukan setakat ini, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan.

Mohd Syamsuri berkata operasi SAR melibatkan kira-kira 30 anggota daripada tujuh agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan. 

Terdahulu,  bomba memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada 8.19 pagi berhubung kejadian melibatkan enam remaja, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan 15 orang yang datang berkhemah di kawasan berkenaan sejak petang semalam.

Dua daripada mereka iaitu Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan, masing-masing berusia 16 tahun, berjaya diselamatkan orang awam kira-kira 7.45 pagi, manakala empat mangsa dilaporkan hilang. 

Mohd Syamsuri berkata keadaan angin kencang dan ombak bergelora selain kawasan pantai yang berbatu menyukarkan sedikit proses pencarian dan menyelamat.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya menghentikan sementara aktiviti mandi laut berikutan keadaan ombak yang bergelora dan boleh membahayakan keselamatan pengunjung.

Sementara itu menurut kenyataan JBPM, identiti mangsa yang ditemukan dikenali sebagai Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, manakala tiga lagi yang masih hilang ialah Muhammad Haiman Fitri Supian, Muhammad Adib Hafiy Kamal dan Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor.

APMM menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pula memperluas sektor pencarian meliputi kawasan kira-kira 1.0 batu nautika persegi dari lokasi kejadian.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement