SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu.
Difahamkan, sesi menghadap itu bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang sementara butiran lanjut mengenainya belum dapat dipastikan.
Semalam, Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pagi tadi, Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali berkata Istana Negeri Sembilan mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, yang dimuat naik di media sosial pada 10 malam tadi.
Semalam, Zambry berkata Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima satu salinan surat peletakan jawatan berkenaan, yang telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.
Ismail mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
-- BERNAMA