Tubuhkan pasukan petugas rangka kerja kredit karbon berasaskan kelapa sawit - FELDA

Ahmad Shabery berkata langkah pertama dalam perjalanan kredit karbon sektor minyak sawit adalah untuk mengiktiraf dan mendaftarkan kredit karbon yang berasaskan kelapa sawit milik Malaysia di bawah daftar karbon kebangsaan. - Gambar Sinar Harian
GENTING HIGHLANDS: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mencadangkan penubuhan pasukan petugas kebangsaan yang diketuai Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk memastikan Malaysia membangunkan rangka kerja kredit karbon berasaskan kelapa sawit.
Ringkasan AI
- FELDA mencadangkan penubuhan pasukan petugas kebangsaan yang diketuai Kementerian Sumber Asli untuk membangunkan rangka kerja kredit karbon berasaskan kelapa sawit.
- Pasukan petugas dijangka menjadi projek perintis nasional bagi mengoperasikan dan mengesahkan rangka kerja tersebut yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
- Ahmad Shabery mencadangkan penambahbaikan karbon diperkenalkan dalam pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia untuk menghasilkan MSPO 3.0 yang mengintegrasikan mekanisme pengkreditan karbon.
"Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan bertindak sebagai pihak berkuasa teknikal dan pembangun metodologi untuk standard karbon berasaskan kelapa sawit, manakala SIRIM Bhd, melalui SIRIM QAS International akan berperanan sebagai badan pensijilan dan pengesahan yang bertauliah," katanya.
Ahmad Shabery berkata demikian dalam ucaptama beliau pada "Second Unlocking Revenue and Sustainability Exploring Carbon Credit Opportunities" di Persidangan Industri Minyak Sawit 2025 yang berlangsung di sini, hari ini.
Dengan bertemakan "ASEAN Biomass in Focus", persidangan itu telah mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama yang menghubungkan pasaran karbon dengan sektor minyak sawit dan menyokong masa depan industri untuk menerajui kemampanan, dengan memanfaatkan kredit karbon bagi mengurangkan kesan alam sekitar dan memacu inovasi.
Ahmad Shabery juga berkata langkah pertama dalam perjalanan kredit karbon sektor minyak sawit adalah untuk mengiktiraf dan mendaftarkan kredit karbon yang berasaskan kelapa sawit milik Malaysia di bawah daftar karbon kebangsaan.
"Sebaik sahaja kredit karbon itu diiktiraf dan diniagakan, ia akan merangkumi kedua-dua tonggak Visi ASEAN-Malaysia 2025: Keterangkuman dan Kemampanan.
"Ia akan mewakili komitmen bersama kerajaan, industri dan pekebun kecil kita terhadap masa depan yang lebih hijau, adil dan berdaya tahan," katanya.
Sementara itu, Ahmad Shabery juga mencadangkan protokol penambahbaikan karbon diperkenalkan ke dalam pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang secara efektif akan mengubahnya kepada MSPO 3.0.
"Versi ini (MSPO 3.0) akan mengintegrasikan mekanisme perakaunan dan pengkreditan karbon dalam proses pensijilan," tambah beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


