PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan meneruskan siasatan berhubung dakwaan kesalahan qazaf yang dilakukan terhadap seorang pemimpin negara, dipercayai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar setakat ini  Bahagian Penguatkuasaan JAWI menerima empat laporan melibatkan tuduhan qazaf, antaranya dibuat di dalam Parlimen dan media sosial.

“Yang pertama berkaitan isu yang melibatkan Datuk Seri Radzi Md Jidin terhadap Perdana Menteri ketika dalam Parlimen.

"Yang kedua ada satu lagi laporan yang dibuat  Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) terhadap posting yang dinisbahkan kepada ‘Ustaz Dasuki’ (Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani), yang ada menyebut perkataan peliwat," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Bersama Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) di sini hari ini.

Ditanya sama ada pendakwaan boleh diteruskan terhadap Radzi, yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan kerana perbuatan dibuat semasa persidangan Parlimen, Mohd Na'im berkata perkara itu akan diputuskan oleh pihak pendakwaan.

“Apabila ada laporan dikemukakan, siasatan akan dijalankan sama ada laporan dibuat kepada polis atau penguatkuasa JAWI.

“Semasa siasatan dijalankan, pihak-pihak berkaitan iaitu saksi akan dipanggil oleh pihak penguatkuasa agama dan di situ laporan (keterangan) akan disediakan.

“(Kenyataan dibuat dalam sidang Parlimen). Siasatan kena jalan bila ada aduan. Persoalan sama ada untuk diteruskan pendakwaan sebab kenyataan dibuat di Parlimen, itu persoalan lain dan itu akan diputuskan oleh pendakwaan nanti,” jelas beliau.

Mohd Na'im menambah siasatan dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Pada Selasa lalu, Radzi didakwa telah menyebut beberapa perkataan jelik yang termasuk dalam kesalahan jenayah qazaf ketika bertikam lidah dengan Anwar semasa Menteri Kewangan itu menggulung perbahasan usulKajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat.

Qazaf bermaksud membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.