KUALA LUMPUR: Tugas mempertahankan kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat dan tidak terletak secara eksklusif di bahu pasukan keselamatan semata-mata.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata rakyat tidak perlu mengangkat senjata sebaliknya berperanan menyemai semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan, menyokong pasukan keselamatan serta tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.
"Inilah semangat Pertahanan Menyeluruh (HANRUH). Keberanian dan pengorbanan mereka (pahlawan dan perwira) menjadi asas kepada keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini.
“Bagi pihak kerajaan, Kementerian Pertahanan dan seluruh rakyat Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta para veteran atas khidmat dan pengorbanan mereka kepada negara," katanya dalam hantaran di laman media sosial rasmi beliau bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan 2026, hari ini.
Mohamed Khaled berkata setiap 31 Julai, negara memperingati jasa dan pengorbanan pahlawan serta perwira yang telah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air.
Beliau turut berharap agar semangat keperwiraan pahlawan terus hidup dalam jiwa setiap rakyat negara ini demi memastikan Malaysia kekal aman, berdaulat dan sejahtera.
-- BERNAMA