Enam warga asing dan seorang warga tempatan dipercayai tekong bertanggungjawab membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh di Langkawi, Mei lepas telah didakwa di mahkamah baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, lima warga Myanmar, seorang warga Bangladesh dan seorang warga tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 26 Jun dan 27 Julai lepas.

"Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 26A dan 26J Akta Antipemerdagangan Orang, Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Menurut Zamri, sebelum ini kesemua tujuh suspek itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dengan pendengaran kedua kes terbabit diadakan pada Selasa.

Katanya, tindakan itu merupakan satu mesej yang pihak berkuasa akan bertindak tegas untuk membanteras aktiviti pemerdagangan manusia tidak kira ianya melibatkan warga tempatan atau asing.

Beliau juga berkata, warga tempatan yang didakwa di mahkamah bulan lepas itu adalah kerana salah sebuah bot yang membawa PATI ke Langkawi didaftarkan di atas namanya.

Pada 11 Mei lepas, seramai 1,158 orang PATI dipercayai etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh ditahan selepas bot yang mereka naiki mendarat di pesisiran pantai Langkawi.

Kumpulan PATI itu kemudiannya dipindahkan secara berperingkat ke Pusat Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah.

Insiden pendaratan itu berlaku berikutan tindakan Thailand memerangi sindiket pemerdagangan manusia secara besar-besaran selepas penemuan kubur besar di selatan negara itu.