Sebanyak tujuh unit kedai yang berkelompok musnah dijilat api di Jalan Maxwell, Pusat Bandar Rawang, di sini awal pagi tadi.

Kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira jam 2 pagi itu disedari oleh orang ramai yang kemudiannya bertindak menghubungi pihak bomba.

Pihak bomba yang menerima laporan tersebut menghantar lebih 23 anggota bomba ke lokasi kejadian selain sukarelawan dari Rawang dan Batu Arang.

Namun, kebanyakan kedai yang diperbuat daripada kayu dan papan (kelas C) itu menyebabkan api mudah marak dan merebak dengan pantas.

Menurut Ketua Bomba Zon 6 Rawang, Sabri Jamalludin, keadaan unit kedai yang berdekatan dan bahan binaan yang mudah terbakar menyebabkan api pantas merebak.

"Kebakaran di Jalan Maxwell, Rawang. Kita terima panggilan dari 999 pada jam 1.51 pagi dan jentera pertama kita sampai jam 2.01 pagi.

"Keluaran jentera kita telah melibatkan tiga buah balai dan satu balai bomba sukarela iaitu balai Bomba Rawang, Selayang, Batu Arang dan Balai Sukarela Tun Teja," katanya.

Sabri berkata, kekuatan anggota adalah seramai 29 orang melibatkan satu jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS), tiga jentera pemadam, lori tangki air dan sebuah kenderaan utiliti.

"Kebakaran ini hanya dapat dikawal dalam masa satu jam kerana bangunan yang terbakar ini melibatkan tujuh buah unit rumah kedai kelas C separa kekal.

"Sekarang ini kerja-kerja 'overhaul' sedang giat dilakukan, namun demikian, mangsa belum dapat dipastikan," tambahnya.

Punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar masih disiasat.