HULU SELANGOR: Tindakan seorang tukang cuci wanita warga Indonesia mencabul wanita lain di tandas, mengundang padah apabila dia dihukum penjara empat tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini.

Hakim, Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret memutuskan demikian selepas tertuduh yang dikenali sebagai Ita, menukar pengakuan kepada bersalah pada 15 Ogos tahun lalu.

Menerusi alasan penghakiman mahkamah yang dikeluarkan pada 26 Disember lalu, Siti Fatimah berkata, fakta kes menunjukkan tertuduh mencabul kehormatan dengan menyentuh punggung, kemaluan dan payudara mangsa yang berusia 29 tahun (ketika kejadian).

Menurutnya, mahkamah mengambil kira bahawa perbuatan seperti ini adalah jenayah serius yang menjatuhkan maruah mangsa.

“Kesalahan tertuduh mengaibkan mangsa dan mahkamah perlu memberi hukuman berbentuk pengajaran supaya tidak diulangi pada masa hadapan.

“Diharap hukuman ini akan memberi pengajaran kepada tertuduh supaya menjadi insan yang lebih bertanggungjawab serta bertaubat,” katanya.

Beliau berkata, hukuman penjara selama empat tahun dari tarikh tangkap (12 Jun tahun lalu) dan denda ini adalah setimpal, munasabah serta berpatutan dengan kesalahan dilakukan tertuduh terhadap mangsa.

Siti Fatimah berkata, hukuman itu juga selaras dengan Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mana ia bukan saja memberi pengajaran kepada tertuduh, malah masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Beliau berkata, ini kerana perbuatan itu bukan sahaja mengaibkan, malah menyebabkan trauma kepada mangsa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 29 tahun, dengan niat dan maksud melakukan suatu perbuatan mencabul kehormatannya.

Kesalahan dilakukan dalam tandas wanita sebuah premis di daerah ini pada jam 10.47 pagi, 10 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian