KUALA LUMPUR: Seorang tukang kayu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan merotan wanita itu.

Mohd Razik Mansoruddin, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Bapa dua anak itu didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya, seorang pembantu tadbir syarikat swasta berusia 35 tahun di sebuah rumah di Bandar Country Homes, Rawang dekat sini pada 2.30 petang, 3 Okt lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan boleh juga dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu dan mendekati mangsa.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam M.Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA