Skip to main content

Advertisement

Malaysia

Tukang masak warga Indonesia dipenjara 10 tahun seludup 24 rakan senegara

51733742339_TBGAVEL.jpg
Erni Kuswati mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 24 Nov 2024. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang tukang masak warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyeludup 24 rakan senegaranya, dua tahun lepas.

Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Erni Kuswati, 30, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 24 Nov 2024.

Advertisement

Wanita itu didakwa menjalankan penyeludupan migran terhadap 24 warga Indonesia antara umur 30 hingga 50 tahun di sebuah rumah di Jalan Sarjana, Taman Seri Cendekia di sini antara 20 Nov hingga 24 Nov 2024.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Syazwani Zawawi memohon hukuman berbentuk pemenjaraan dengan mengambil kira perbuatan tertuduh yang boleh mengancam kedaulatan negara serta kepentingan awam.

"Hukuman berat ini diharap menjadi pengajaran kepada rakyat tempatan atau migran haram yang tinggal di Malaysia yang berniat untuk melakukan kesalahan sama," katanya.

Bagaimanapun, Erni Kuswati yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.
 

-- BERNAMA

Must Watch Video