Tukar budaya merancang kepada budaya melaksana - Zambry

Zambry berkata banyak inisiatif gagal mencapai matlamat kerana kelemahan dalam pelaksanaan dan kurangnya tindakan susulan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, menggesa perubahan minda dalam kalangan penjawat awam dengan menekankan agar agensi dan institusi memberi tumpuan kepada pelaksanaan serta hasil, bukan sekadar perancangan dan pengumuman.
Ringkasan AI
- Menteri Pendidikan Tinggi gesa perubahan minda penjawat awam dengan menekankan pelaksanaan dan hasil, bukan sekadar pengumuman dasar atau perancangan.
- Zambry gariskan tiga anjakan utama untuk 'Minda Pelaksanaan': pengurusan projek berdisiplin dengan pemantauan telus, akauntabiliti bersama melalui kolaborasi rentas sektor, dan fokus kepada keputusan yang boleh diukur.
- Pendekatan baharu akan diterapkan dalam RMK13 melalui konsep Whole of Nation dan model Quintuple Helix, disokong oleh data telus, papan pemuka prestasi serta integrasi teknologi bagi memastikan dasar inklusif dan mampan.
Beliau menjelaskan, nilai sebenar terletak pada tindakan merealisasikan sesuatu konsep melalui usaha berterusan dan pengurusan yang tersusun. Belsky menekankan bahawa setiap perkara dalam kehidupan perlu dilihat sebagai satu projek yang dipecahkan kepada langkah-langkah boleh laksana untuk memastikan kemajuan sebenar dicapai.
Zambry berkata dasar kerajaan perlu dilaksanakan seperti projek berstruktur dengan objektif yang jelas, penanda aras kemajuan, akauntabiliti dan semakan yang telus.
Namun begitu, terlalu kerap pengumuman diraikan, tetapi tindakan susulan tidak konsisten.
Beliau menggariskan tiga anjakan utama bagi membina apa yang digelarnya sebagai “Minda Pelaksanaan” (Delivery Mindset).
Anjakan pertama adalah peralihan daripada pengumuman dasar kepada pengurusan projek yang berdisiplin. Setiap dasar utama, katanya, mesti mempunyai pasukan pelaksana khusus, hasil yang boleh diukur, serta pemantauan kemajuan secara berkala bagi memastikan impak sebenar.
Kedua, beralih daripada bekerja secara berasingan kepada akauntabiliti bersama. Menurutnya, banyak dasar gagal bukan kerana kelemahan idea, tetapi kerana memerlukan kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.
“Kita mesti menghargai kolaborasi, pembinaan pakatan dan penyelarasan rentas sektor,” katanya, merujuk kepada pendekatan Whole of Nation yang akan diterapkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Zambry turut menyentuh model Quintuple Helix yang menyatukan lima pemain utama iaitu kerajaan, industri, ahli akademik, masyarakat sivil dan alam sekitar bagi memastikan dasar yang inklusif, inovatif dan mampan.
Selain itu, Zambry juga menggesa kementerian memberi tumpuan kepada keputusan yang boleh diukur, bukan hanya bermesyuarat atau acara rutin semata-mata.
Tambahnya, data yang telus, papan pemuka prestasi dan pemantauan berkala amat penting untuk membina kepercayaan awam serta memastikan akauntabiliti.
“Malaysia dikurniakan bakat, sumber dan peluang. Namun potensi bukan penentu.
"Untuk merealisasikan aspirasi, kita mesti beralih daripada budaya kecemerlangan perancangan kepada budaya kecemerlangan pelaksanaan,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


