Skip to main content

Dunia

AS tawar ganjaran AS$15 juta untuk maklumat penghantaran minyak IRGC

Have information on the IRGC’s illegal oil sales? Submit your tip today. -- X @RFJ_USA
Tawaran itu diumumkan menerusi Program Ganjaran untuk Keadilan Jabatan Negara AS pada Selasa, di tengah ketegangan berkaitan penguatkuasaan sekatan maritim antara Washington dan Tehran di Asia Barat. -Foto X

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran sehingga AS$15 juta (kira-kira RM59 juta) kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terperinci mengenai penghantaran minyak yang melanggar sekatan antarabangsa dan dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran serta rangkaiannya.

Tawaran itu diumumkan menerusi Program Ganjaran untuk Keadilan Jabatan Negara AS pada Selasa, di tengah ketegangan berkaitan penguatkuasaan sekatan maritim antara Washington dan Tehran di Asia Barat.

“Ganjaran ini ditawarkan kepada individu yang mempunyai maklumat mengenai penghantaran minyak IRGC, kapal tangki atau entiti yang terlibat dalam operasi tersebut, termasuk aktiviti serta individu berkaitan,” menurut kenyataan itu dalam hantaran di X.

 

 

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Washington untuk menyekat keupayaan kewangan IRGC, yang didakwa membiayai operasi ketenteraan di rantau berkenaan.

Sebelum ini, laporan perisikan menyatakan IRGC menggunakan kaedah pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan antarabangsa serta pemalsuan dokumen maritim bagi mengelak sekatan perdagangan.

Pihak berkuasa AS turut menyasarkan maklumat kritikal mengenai mekanisme kewangan IRGC, termasuk syarikat pelindung di luar negara serta laluan logistik yang digunakan untuk menyeludup komoditi itu keluar dari Iran.

Tawaran ganjaran itu selari dengan langkah sekatan unilateral AS terhadap beberapa syarikat perkapalan dan entiti perniagaan di Hong Kong, China dan Dubai yang didakwa menjadi pemudah cara logistik kepada Iran sejak minggu lalu.


 

Must Watch Video