Skip to main content

Malaysia

Tular aksi dipercayai lumba kereta di Putrajaya cetus kebimbangan

https://www.sinarharian.com.my/article/795630/berita/semasa/tular-aksi-dipercayai-lumba-kereta-di-putrajaya-cetus-kebimbangan
Tangkap layar daripada rakaman video yang tular di media sosial. - Foto Sinar Harian
Advertisement

PUTRAJAYA: Sebuah video memaparkan beberapa kenderaan dipercayai terlibat dalam aksi perlumbaan atau menguji kelajuan di sebuah jalan utama di Putrajaya pada waktu malam tular di media sosial.

Rakaman yang dikongsikan menerusi platform Threads itu mengundang kebimbangan warga maya terhadap keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Rata-rata pengguna menyifatkan aksi tersebut sebagai berbahaya kerana bukan sahaja boleh mengancam keselamatan individu yang terlibat, malah pengguna jalan raya lain.

Individu yang memuat naik video berkenaan turut mempersoalkan sehingga bila kegiatan sedemikian akan berterusan di Putrajaya, selain menandai akaun Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Perbadanan Putrajaya.

Menjawab hantaran tersebut, Radzi berkata beliau akan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berhubung perkara berkenaan.

“Saya akan hubungi pihak IPD Putrajaya berkaitan perkara ini.

“Saya juga telah menghantar pesanan mesej untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai video tersebut,” katanya menerusi ruangan balas hantaran berkenaan.

 

 

Sebelum ini, aktiviti dipercayai melibatkan lumba haram, menguji kelajuan dan gangguan bunyi bising kenderaan turut mendapat perhatian pihak berkuasa susulan aduan penduduk di beberapa kawasan sekitar Putrajaya.

Sabtu lalu, IPD Putrajaya telah menggerakkan operasi membanteras samseng jalanan di sekitar Putrajaya selepas menerima beberapa aduan gangguan bunyi bising.

Dalam operasi berkenaan, sekumpulan mereka melarikan diri dengan meninggalkan motosikal di bawah jejambat selepas menyedari polis melaksanakan penutupan jalan di Lebuh Sentosa di sini.

Hasil operasi sebanyak 14 kenderaan terdiri daripada 13 motosikal dan sebuah kereta telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement