KUCHING: Satu laporan polis telah dibuat oleh pihak pengurusan tertinggi Astana Negeri berhubung penularan pesanan ringkas mengandungi maklumat  palsu mengenai kesihatan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Setiausaha Akhbar kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Peter Sibon berkata laporan tersebut dibuat bagi memastikan penularan maklumat seumpamanya terhadap Tun Abdul Taib dihentikan serta-merta.

Jelasnya, pihak Astana Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan kes tersebut  terutama dalam usaha mengenal pasti sumber dan individu yang terlibat.

“Laporan polis yang dibuat tidak menuju kepada individu secara spesifik kerana kita belum boleh mengenal pasti, kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat bagaimana dan di mana sumber berita palsu ini, khususnya melalui media sosial.

“Berita palsu yang disebarkan mengandungi  maklumat mengatakan Tun tidak sihat, Tun sedang sakit dan ada antaranya memaklumkan Tun sudah meninggal dunia,” katanya semasa sidang media ringkas selepas membuat laporan polis di sini pada Jumaat.

Dalam masa yang sama beliau memberitahu tahap kesihatan bekas Ketua Menteri Sarawak itu dalam keadaan yang baik dan kini bersama keluarga.

“Berkenaan keadaan Tun saya bukan orang yang tepat untuk berkongsi maklumat tersebut, bagaimanapun menurut edaran media sebelum ini Tun berada dalam keadaan sihat, bersama keluarga beliau,” ujarnya lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sejak Selasa lalu, tersebar berita bahawa Tun Abdul Taib kini berada dalam keadaan tidak sihat dan sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Astro AWANI difahamkan beliau yang ditemani oleh isterinya, Toh Puan Ragad Taib Kurdi kini sedang berada di luar negara.