IPOH: Dua individu yang terbabit dalam video tular memukul seorang lelaki di tengah jalan, minggu lalu masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat.

Majistret Jesseca Daimis menjatuhkan hukuman itu terhadap tukang cat motosikal, Helmi Zaharuddin, 43, dan mekanik, Aslam Suliman, 28, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan lelaki tersebut.

Mahkamah turut memerintahkannya tertuduh dipenjara sembilan bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyebabkan kecederaan terhadap K Gopal, 34, di bahagian kepala dengan menggunakan batang aluminium.

Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan-Tambun sekitar jam 5.30 petang pada 27 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Norzam manakala kedua-dua tertuduh yang masih bujang, diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G Harbhajan Singh.

Pada prosiding berasingan, Aslam turut dikenakan denda sebanyak RM1,800 dan pengawasan selama dua tahun oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badan, tahun lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didapati memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 8.40 malam pada 24 Oktober 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda sehingga RM5,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin dan tertuduh diwakili peguam YBGK, Harbhajan Singh.

Sebelum ini, media melaporkan polis mengesan lima lelaki yang terlibat dalam pergaduhan selepas video kejadian itu tular di aplikasi WhatsApp, minggu lalu.