Tular kanak-kanak maut akibat Influenza: Punca sebenar dalam siasatan - Dzulkefly

Menurut Dzulkefly, kebanyakan kes influenza yang dikesan di seluruh negara menunjukkan simptom ringan dan buat masa ini situasi masih berada pada tahap terkawal meskipun terdapat wabak yang membimbangkan. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) masih menjalankan siasatan terperinci berhubung punca sebenar kematian seorang kanak-kanak berumur empat tahun di Samarahan, Sarawak yang disyaki berkaitan jangkitan Influenza A.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ujian makmal menunjukkan kanak-kanak berkenaan positif Influenza A, namun komplikasi utama yang dikenal pasti ialah radang otak yang menyebabkan sawan.
"Ujian makmal menunjukkan positif jangkitan Influenza A, namun perlu diingat komplikasi utamanya adalah radang otak, yang lazimnya boleh menyebabkan sawan, keadaan ini juga boleh disebabkan pelbagai virus lain.
"Jadi kita masih belum dapat mengesahkan sepenuhnya bahawa ia disebabkan iinfluenza A, walaupun diagnosis awal (menunjukkan ke arah itu). Adalah lebih baik kita tunggu untuk kita dengar diagnosis akhir," katanya kepada media selepas majlis sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025, di sini, hari ini.Dzulkefly berkata, pihaknya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan bahawa hasil siasatan penuh perlu ditunggu sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Beliau berkata, kebanyakan kes influenza yang dikesan di seluruh negara menunjukkan simptom ringan dan buat masa ini situasi masih berada pada tahap terkawal meskipun terdapat wabak yang membimbangkan.
Dzulkefly berkata, sebanyak 116 wabak dan 97 kluster influenza dikesan setakat ini dan keadaan itu tidak boleh dipandang ringan, namun orang ramai tidak perlu panik.
Beliau mengingatkan orang ramai yang mengalami gejala supaya memakai pelitup muka, mengamalkan kebersihan tangan, mengelakkan tempat sesak serta melindungi orang lain daripada jangkitan.
"KKM akan terus menjalankan pemantauan melalui sistem pengawasan ILI (penyakit seperti influenza) dan SARI (jangkitan pernafasan akut teruk).
"Kami juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi menyalurkan maklumat terkini serta memberi nasihat mengenai tahap keseriusan situasi semasa," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami