KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah  Ahmad Badawi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada Rabu setelah mengalami small spontaneous pneumothorax.

Buat masa ini, keadaan beliau dilaporkan stabil dan masih dirawat di Unit Penjagaan Koronari (Coronary Care Unit).

Kesihatan mantan Perdana Menteri itu disahkan sendiri oleh ahli keluarganya menerusi kenyataan pada Khamis.

"Alhamdulillah, beliau berada dalam keadaan baik, namun memerlukan rehat yang secukupnya.

"Pihak keluarga amat menghargai doa serta kata-kata semangat yang dititipkan.

"Tetapi, pihak IJN menasihatkan agar beliau tidak menerima pelawat buat masa ini," jelasnya.


Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang juga menantu Abdullah dalam kemas kini di Instagram Story turut mengesahkan perkara sama dan memaklumkan keadaan bapa mentuanya itu dalam keadaan baik ketika ini.

"Namun, (Abdullah) memerlukan rehat yang secukupnya. Saya mewakili seluruh ahli keluarga amat menghargai doa serta kata-kata semangat yang dititipkan buat beliau.

"Tetapi pihak IJN menasihatkan agar beliau tidak menerima pelawat buat masa ini," kata bekas Menteri Kesihatan itu.

.