Negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamed mengingatkan rakyat terutama pengundi di Kedah supaya menggunakan kuasa undi mereka sebaik mungkin kerana ianya sesuatu yang tidak ternilai dan tidak boleh dijual dengan wang ringgit.

Beliau menjelaskan undi merupakan satu kuasa yang boleh menentukan nasib rakyat pada masa hadapan dan rakyat perlu menggunakan kuasa yang ada pada mereka dengan sebaik mungkin.

"Tidak perlu berperang seperti di Syria, tak perlu untuk buat demonstrasi dijalan seperti di Cairo (Kaherah), undi saja dan kita boleh menang dan tukar kerajaan dan undi kita itu satu kuasa yang boleh tentukan nasib kita di masa hadapan," katanya ketika menyampaikan ucapan di Himpunan Anak Kedah di Lembah Klang di Stadium Juara, Bukit Kiara, dekat sini, hari ini.

Turut hadir ke majlis tersebut, isteri beliau, Tun Dr Hasmah Ali, Pengerusi Himpunan Anak Kedah dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Jamil Khir Baharom dan lain-lain.

Dalam ucapan beliau juga, Dr Mahathir berkata, dalam proses demokrasi kemenangan dengan satu undi tetap dianggap menang dan kalah dengan satu undi dianggap kalah. Justeru beliau mengingatkan rakyat agar menggunakan sebaik-baiknya peluang yang diberikan kepada mereka.

Beliau juga mengingatkan anak-anak Kedah supaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengundi Barisan Nasional (BN) di Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Tiap seorang daripada kita perlu balik ke Kedah untuk mengundi dalam Pilihan Raya, kalau tidak kita tidak dapat tukar kerajaan, saya yakin semua kita walaupun tinggal di Kuala Lumpur masih lagi ingin lihat Kedah maju jaya," katanya.

Tegas beliau selama lima tahun telah terbukti Pakatan Rakyat gagal mentadbir dan membangunkan Kedah seperti di bawah BN sebelum ini. Atas sebab itu menjadi tanggungjawab anak-anak Kedah yang prihatin untuk memastikan kerajaan yang akan dipilih kelak mampu membangunkan negeri tersebut.

Dr Mahathir juga mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya memastikan BN memenangi lebih banyak kerusi parlimen dalam PRU-13 berbanding PRU-12 untuk memastikan Putrajaya kekal di bawah BN.

Bekas Perdana Menteri itu berkata ahli-ahli UMNO perlu memastikan BN menang bukan hanya di negeri sebaliknya juga di peringkat pusat kerana kerjasama yang baik boleh dilakukan jika BN menguasai negeri dan pusat.

"Kita perlu tentukan Datuk Seri Najib dapat lebih kerusi di parlimen daripada Tun Abdullah Badawi," kata beliau.

Untuk mencapai kemenangan tersebut, Dr Mahathir juga mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya mementingkan kemenangan BN berbanding calon dalam PRU-13 nanti.

"Kali ini saya mahu ingatkan ahli-ahli UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO bahawa parti mesti memang. Untuk parti menang, calon-calon parti mestilah menang," katanya.

Beliau juga berharap pengundi di Kedah memilih wakil rakyat kerana sokongan mereka kepada BN bukan kerana faktor calon.

"Saya harap semua pengundi-pengundi di Kedah akan undi kerana sokong Barisan Nasional, kalau pun dia Cina, kalau pun dia India, kalau pun dia orang yang kita tak suka kita kena undi Barisan Nasional.

"BN mesti menang pilihan raya, saya nak rayu kepada semua yang hadir kepada yang boleh undi, akan balik ke Kedah untuk undi Barisan Nasional," kata beliau yang menyifatkan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah hanya tahu menebang kayu balak berbanding membangunkan negeri tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu juga berharap pengundi di Kedah tidak terpengaruh dengan dakyah dan kebencian yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu.