MALAYSIA
Tun Mahathir genap 100 tahun, Anwar titip doa dan penghargaan

Anwar menulis di media sosial beliau hari ini, semoga Allah terus merahmati Tun Dr Mahathir sempena ulang tahun kelahiran beliau ke-100 hari ini. - Facebook Anwar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-100 kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, sambil mendoakan kesejahteraan, kesihatan dan ketenangan buat negarawan ulung itu.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar turut menyatakan harapannya agar bekas perdana menteri itu terus dikurniakan kekuatan tubuh dan ketenangan jiwa dalam menjalani kehidupan yang penuh makna.
“Saya dan Azizah mendoakan setulusnya agar Tun terus dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa, dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna.
“Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan yang tinggi,” kata Anwar.
Beliau turut mendoakan agar Allah terus merahmati Dr Mahathir, yang pernah menerajui negara selama lebih dua dekad dalam dua era pemerintahan berbeza.
Dr Mahathir merupakan tokoh politik paling berpengaruh dalam sejarah moden Malaysia, yang pernah menjadi Perdana Menteri keempat dan ketujuh negara.
Ucapan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-rata mengucapkan tahniah dan menzahirkan rasa hormat terhadap sumbangan Dr Mahathir kepada pembangunan negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami