NATIONAL
Tun Mahathir mahu hubungan Malaysia-Austria lebih rancak

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu Canselor Republik Austria, Sebastian Kurz di Pejabat Canselor, Vienna. - Foto Astro AWANI/ISRAR KHALID
Austria boleh menjadi pasaran yang baik untuk produk buatan Malaysia meluaskan perniagaan mereka, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bercakap selepas mengadakan pertemuan dengan Canselor Austria, Sebastian Kurz, beliau berkata bahawa Malaysia juga mengalu-alukan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dari republik itu.
“Kami tahu Austria memiliki beberapa industri dan syarikat bagus yang sebelum ini telah menyumbang kepada Malaysia dalam sektor hospital, kereta kabel di Langkawi turut menggunakan teknologi Austria.
“Austria memiliki teknologi yang bagus. Setakat ini jumlah dagangan tidaklah begitu besar tetapi banyak. Kami berharap dapat menambah baik jumlah itu,” katanya.
Dr Mahathir turut menambah, walaupun tujuan utama kehadirannya ke Austria adalah untuk menghadiri Persidangan Agung dan Mesyuarat Tahunan ke-10 Persatuan Penguatkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA), beliau gembira untuk turut dijemput mengadakan pertemuan empat mata dengan pemimpin Austria itu.
Pertemuan antara Dr Mahathir dengan Kurz berlangsung lebih 30 minit berlangsung di Canseleri Persekutuan dan Kurz menyatakan bahawa beliau berbesar hati menerima kunjungan pemimpin yang tertua dan paling berpengalaman di dunia itu.
“Sebagai pemimpin termuda pada usia 32 tahun, banyak yang saya boleh belajar daripadanya,” kata Kurz.
Ketika ini jumlah pelaburan Austria di Malaysia adalah pada 860 juta Euro setahun dan 70 syarikat dari republik itu yang beroperasi di Malaysia.
Beliau berharap jumlah itu dapat dipertingkat terutamanya dalam bidang tenaga dan infrastruktur.
Selesai pertemuan dengan Kurz, Dr Mahathir beransur ke Istana Hofburg untuk bertemu Presiden republik itu, Alexander van der Bellen.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami