Tun Dr Mahathir Mohamad diminta menjelaskan kebenaran tindakannya memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno pada 1998 atas dakwaan melakukan perbuatan di luar tabii bagi menjawab kekeliruan rakyat sekarang.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat perlu diberitahu perkara sebenar selepas Dr Mahathir dalam tindakan terbaharunya kembali menyokong Anwar seolah-olah dakwaan dahulu tidak pernah berlaku.

"Saya nak cabar dia (Dr Mahathir) buat kenyataan bahawa tindakan dia terhadap Anwar dahulu dengan memenjarakan Anwar untuk kes liwat adalah tidak betul.

"Dr Mahathir sekarang bersetuju beri tempat pertama kepada Anwar dalam pakatan dengan memuji Anwar dan sebagainya.

“Dr Mahathir perlu jawab, adakah sekarang dia dah menyesal kerana menuduh Anwar sebagai peliwat yang mana sekarang dia dah boleh menerima Anwar. Ini yang rakyat Malaysia ingin tahu dan kita keliru sekarang," katanya.

Ismail Sabri bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Koperasi Pekebun Kecil dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-33 Koperasi Pekebun Kecil Getah Nasional Berhad (Narsco) di sini hari ini.

Dalam sidang media pada 22 Sept 1998 yang dibuat Dr Mahathir, perdana menteri keempat itu mendakwa Anwar terlibat dalam perbuatan liwat dan seorang peliwat tidak layak menjadi pemimpin negara.

Ismail yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata tindakan Dr Mahathir yang meminta rakyat menyokong Pakatan Harapan dengan menamakan Anwar sebagai Ketua Umum juga mengelirukan rakyat.

"Orang keliru adakah tindakan Dr Mahathir dahulu hanya konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar seperti yang Anwar sebut atau dia benar-benar melakukan liwat.

"Sekarang nampak gayanya, dah tak timbul isu dari segi moral Anwar. Mungkin Dr Mahathir dah menyesal kerana menganiaya Anwar dan mengeluarkan pelbagai tuduhan yang tak berasas kepada Anwar hingga kini dia meminta rakyat menyokong Pakatan Harapan.

"Dulu kita anggota UMNO diajar untuk percaya bahawa Anwar adalah seorang yang tak bermoral, tak layak menjadi perdana menteri kerana dia peliwat...sekarang, dia (Dr Mahathir) berkempen supaya Anwar boleh jadi perdana menteri dan tak ada isu moral dan sebagainya," katanya.