GEORGE TOWN: Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan (Hon. D. Dev. Econs) oleh Universiti Sains Malaysia (USM), pada 29 Mac ini.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor USM berkenan untuk mempengerusikan sidang satu penyampaian anugerah tersebut pada pukul 10.30 pagi di Istana Arau, Perlis.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata sidang pertama itu adalah untuk meraikan Mohd Ali dan penganugerahan tersebut sebagai tanda penghargaan serta pengiktirafan USM terhadap sumbangannya yang cemerlang dalam bidang ekonomi sehingga mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Tun Mohd Ali yang juga Alumni Terbilang USM terkenal dengan ketokohannya dan banyak menyumbang kepada aspek kemajuan ilmu, perkembangan dan penyebaran pengetahuan serta kepakaran.

"Pencapaian beliau juga telah membuktikan bahawa graduan dalam bidang Sains Sosial boleh menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Faisal Rafiq berkata Upacara Konvokesyen ke-59 USM itu akan bermula pada 29 Mac bagi sidang satu di Istana Arau dan seterusnya diikuti dengan sidang kedua hingga 12 bermula 21 hingga 31 Mei di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM di sini.

Katanya, upacara konvokesyen itu turut meraikan sejumlah 6,706 graduan yang akan menerima ijazah masing-masing iaitu Ijazah Tinggi sebanyak 2,231 orang (Ph.D dan Sarjana), Ijazah Sarjana Muda (4,425 orang) dan Diploma Kejururawatan (50 orang).

"Upacara konvokesyen pada Mei depan akan dipengerusikan oleh Pro-Pro Canselor USM iaitu Tan Sri Dr Zulkefli A.Hassan, Tan Sri Mustafa Mansur dan Tan Sri Dr M. Jegathesan," katanya.

Beliau berkata untuk upacara di DTSP, penganugerahan ijazah-ijazah akan dijalankan secara satu sesi setiap hari dan pecahan sidang akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA